BERNAMA
Polis Diraja Malaysia
(PDRM) akan meneruskan cadangan menaikkan kadar kompaun maksimum sebagai
satu usaha menurunkan statistik kemalangan jalan raya maut yang
meningkat sepanjang tahun. - Foto Bernama
MARANG, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan
meneruskan cadangan menaikkan kadar kompaun maksimum sebagai satu usaha
menurunkan statistik kemalangan jalan raya maut yang meningkat sepanjang
tahun.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri
dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Muhd Fuad Abu Zarim
berkata pihaknya kini sedang meneliti proses bagi tujuan itu termasuk
pindaan dari sudut perundangan sebelum ia dilaksanakan selewat-lewatnya
hujung tahun ini.
Tanpa menyebut jumlah kenaikan kadar
kompaun berkenaan, beliau berkata sudah tentu ia akan melalui proses
perundangan kerana sebelum ini kadar bayaran maksimum RM300 yang
ditetapkan merupakan sebahagian daripada Seksyen 120 Akta Pengangkutan
Jalan 1987.
“Jadi kalau kita mahu melakukan pindaan,
ia perlu melalui proses di peringkat jemaah menteri, kemudian akan
dibentangkan di Parlimen dan setelah diluluskan oleh Parlimen barulah
boleh ia dikuatkuasakan.
“Untuk
sementara waktu ini, kita masih mengguna pakai undang-undang sedi ada
dan harap pindaan tersebut dapat dilaksanakan selewat-selewatnya hujung
tahun ini (berdasarkan syor PDRM),” katanya kepada pemberita selepas
melakukan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini
hari ini.
Turut hadir Ketua Trafik Pasukan Cawangan
Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus, Timbalan Ketua Polis Terengganu
Datuk Hashim Abd Jalil dan Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Suhaimi
Ali.
Muhd Fuad berkata kadar kompaun berkenaan
dilihat wajar dinaikkan memandangkan ia tidak pernah dinaikkan sejak 28
tahun lalu dan mungkin kadar berkenaan terlalu ringan sehingga tidak
lagi memberi kesan kepada pengguna jalan raya.
“Hasil pemerhatian PDRM, saban tahun
pelbagai usaha dijalankan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya
termasuk kempen keselamatan dan operasi khas sempena musim perayaan,
namun seolah-olah ia tidak memberi kesan kepada pengguna jalan raya.
“Jadi kita berharap dengan kenaikan kadar
kompaun ini sedikit sebanyak dapat memberi peringatan kepada pengguna
jalan raya agar lebih mematuhi peraturan jalan raya sekali gus
mengurangkan kadar kemalangan maut yang semakin meningkat saban tahun,”
katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar mencadangkan agar jumlah kompaun maksimum dinaikkan
sebagai antara inisiatif mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.
Menurut Khalid, tindakan itu bagi
mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dalam pemanduan
kerana mereka masih dilihat penyumbang utama kepada kemalangan.
Dalam pada itu, Muhd Fuad berkata
cawangan trafik PDRM akan diperbesarkan dan dimantapkan dengan penubuhan
jabatan baharu yang dikenali sebagai Jabatan Siasatan dan
Penguatkuasaan Trafik, Mac ini.
“Jabatan baharu ini akan dilancarkan 25
Mac ini sempena sambutan Hari Polis, ia akan mempunyai pengarah sendiri.
Dengan jabatan baharu ini ia akan memberi fokus kepada keperluan
jabatan dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya meliputi pelbagai
aspek.
“Kita harap dengan penubuhan jabatan
baharu ini, ia turut memberi faedah kepada masyarakat terutama dari segi
mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya di seluruh negara,”
katanya.
No comments:
Post a Comment