Friday, February 19, 2016

‘Bukan hudud, tapi DAP tak mahu PAS memimpin'

MALAYSIAKINI




‘Langkah Kajang’ adalah punca utama yang menyebabkan krisis dalam Pakatan Rakyat sekaligus menyebabkan DAP menentang PAS dan terkuburnya gabungan pembangkang itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya ketika itu tidak bersetuju supaya kepimpinan di Selangor ditukar.

“Kita akui tiada sebab untuk tukar Tan Sri Khalid Ibrahim, tiba-tiba tanpa perbincangan mahu tukar, PAS seperti yang diketahui tidak setuju dan berlaku percanggahan sehingga DAP menyerang PAS,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian.

Mengikut ‘Langkah Kajang’, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya menjadi menteri besar tetapi rancangan itu tidak menjadi kerana tidak mendapat sokongan PAS.

Sebagai kompromi, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pada September 2014 diplih menggantikan Khalid.

Bagaimanapun, susulan itu, krisis demi krisis melanda Pakatan Rakyat sehingga PAS dan DAP masing-masing memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama mereka.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata DAP menentang PAS bukan disebabkan isu hudud semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, parti dominasi Cina itu tidak mahu pemimpin parti Islam menjadi ketua dalam mentadbir negara pada masa hadapan.

“DAP ini kenapa serang sangat, sebab Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam (penjara). Dia (DAP) tidak boleh terima kalau PAS jadi ketua. Sebab itu saya kata ada perkara lain.

“DAP ini tidak setuju PAS bawa hudud ke Parlimen. Hudud ini kita mahu buat dan Kelantan sudah menang berapa puluh tahun dah. Bila ada ruang kena bawa lah. Bawa sebab kewajipan,” katanya yang dipetik lagi oleh Sinar Harian.

Tuan Ibrahim turut mengulas mengenai tindakan AMANAH yang didakwa menyerang PAS Kelantan sejak akhir-akhir ini berkata, peninggalan bekas Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mesti diteruskan jika benar rakyat sayangkan negeri ini.

“Kalau kita sayang kerajaan negeri yang dipimpin oleh tok guru, kita kena pertahankan legasi ini. Kalau serang Kelantan dan hilang Kelantan, maka hilanglah legasi arwah tok guru.

“Hak dia (AMANAH) nak sokong mana pun tapi untuk pertahankan konteks PAS di Kelantan maka kita pakat dukung legasi PAS di sini. Kalau mahu tumbangkan BN, kita kena cari tempat yang mana kita boleh menang,” katanya lagi.


No comments: