Sunday, February 7, 2016

[BONGKAR] Kaedah Keji Singkirkan Mukhriz Terdedah

KELAB GREENBOC


Puteri Umno dedah Ketua Bahagian Kedah diberi RM50,000
 

Ibarat rumah siap pahat berbunyi. Itu situasi yang dilihat berlaku bagi menggambarkan kemelut Umno Kedah ekoran penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Bayan Baru, Pulau Pinang, Aeiza Hassan mendedahkan berlaku sogokan kepada sejumlah Ketua Umno Bahagian dan sayap parti negeri itu bagi menghadiri sidang media tergempar, 20 Januari lalu.


Beliau berkata, salah seorang Ketua Umno Bahagian di Kedah mengaku bahawa Ketua-ketua Bahagian diberi RM50,000 manakala Ketua-ketua Sayap Bahagian pula diberi RM5,000 sebagai saguhati kerana hadir dalam sidang media berkenaan di Hotel Grand Alora, Alor Setar.

Kenyataan Aeiza yang kemudiannya tersebar di media sosial WhatsApp itu menyatakan pemberian sejumlah wang terbabit bagi tujuan menyatakan hilang sokongan kepada Mukhriz yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Saya tanya apa yang berlaku? Jawab beliau (salah seorang Ketua Umno Bahagian), 'MB (Menteri Besar) kurang memberi'. Tanya saya, 'Kurang apa lagi? Projek? Tender ataupun jawatan GLC Negeri?' Dia hanya menjawab, 'Aeiza tak faham'.

“Tetapi akhirnya beliau mengaku bahawa Ketua-ketua Bahagian diberi RM50K sebagai saguhati kerana hadir ketika PC di Hotel Grand Alora,” ujarnya menceritakan kembali perbualan beliau melalui telefon dengan salah seorang salah seorang Ketua Umno Bahagian terbabit.

Menyifatkan murahnya nilai maruah ketua-ketua bahagian dan sayap Umno di Kedah, Aeiza mempertikaikan tindakan ke atas Mukhriz hanya kerana bekas Menteri Besar ke-11 itu lantang bersuara.

“Mainan politik apakah ini? Gila apakah yang sedang berlaku didalam Umno yang kami sayangi? Siapa boleh menafikan bahawa faktor kemenangan Umno dan BN di Kedah adalah disebabkan seorang anak muda yang bernama Mukhriz Mahathir? Saya tidak memihak mana-mana pihak.

“Cuma sudah terlalu banyak isu, kontroversi, tindakan dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan atasan yang dilihat makin lama makin memakan diri,” tegas Aeiza yang juga Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia itu.

Beliau turut menyelar kepimpinan atasan Umno yang dianggapnya dipekakkan telinga, dibutakan mata dan masih dalam sindrom penafian serta ‘menjaga' pemimpin Bahagian dengan beri habuan semata-mata untuk mengekalkan kuasa.

"Kami bukan pekak. Juga bukan tuli yang hanya terima segala perbuatan kepimpinan atasan. Kami lihat, kami dengar, kami baca, kami berbual, kami timbang, kami bincang, kami rasa dan kami cari jawapan. Tetapi kami tahu, suara kami tidak akan ke mana. Tidak akan didengar,” ujarnya berterus-terang.

Mengulas ‘tempias’ pengunduran Mukriz yang ujarnya turut dirasai di Pulau Pinang, beliau berkata, Umno bukan lagi pilihan anak muda sekiranya Mukhriz turun dari jawatan Menteri Besar.

“Kami terpaksa kerana kami kesal. Bukan Umno ini yang kami mahukan. Kami anak muda yang benar-benar sayangkan Umno. Kepada Umno tempat kami bersandar, bergantung harap,” tambahnya lagi. -Malaysia Dateline

Adun Kedah dedah diburu, hampir jatuh laut, dipaksa sokong pecat Mukhriz

Datuk Abu Hassan Sarif mendedahkan dipaksa menyokong kumpulan penentang yang mengatur rancangan menyingkirkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh itu berkata, beliau diburu dan dipaksa semata-mata mahu mendapatkan sokongan menolak Mukhriz dan menjatuhkan menteri besar penggal pertama itu.

"Saya amat mengenali menteri besar kita, saya lakukan apa sahaja demi untuk mengekalkan Datuk Mukhriz walaupun saya tak sehebat pegawai sekeliling. Kita ada tugas dan tanggungjawab saya sebagai Adun untuk pertahankan Datuk Mukhriz.

"Saya lari, saya hilang, hampir-hampir jatuh di laut, diburu semata-mata nak dapatkan sesuatu daripada saya," kata Abu Hassan sambil menangis di hadapan orang ramai semasa program bagi menyatakan sokongan kepada Mukhriz di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam malam tadi.

Abu Hassan tidak menjelaskan mengapa beliau diburu, namun sumber mendedahkan kira-kira 19 Adun sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menolak kepimpinan Mukhriz.

Adun 5 penggal itu berkata, beliau sangat sedih mengenangkan apabila seorang pemimpin yang disanjung rakyat akan digulingkan dengan begitu hina sekali.

"Saya menangis, saya tak pernah menangis depan anak dan isteri. Kita ada lelaki ada ego tapi di sini saya menangis depan anak saya, depan rakan saya menangis.

"Bagaimana orang yang ikhlas, jujur dan amanah, tidak mempunyai moral dan akhlak tidak baik, bertanggungjawab, tak amal rasuah, pemimpin yang boleh majukan masyarakat, rakyat dan negeri Kedah ini, tiba-tiba beliau akan digulingkan dalam keadaan yang amat menyedihkan, saya tidak reda," katanya.

Abu Hassan juga mendedahkan semalam Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memanggil semua Adun Kedah bertemunya di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu Abu Hassan berkata, beliau membuat rayuan kepada Najib supaya Mukhriz dikekalkan sehingga habis penggal.

"Beri masa, saya kata kepada PM, beri masa kepada Mukhriz, kalau nak buang dan ganti pun tunggu habis penggal.

"Biar beliau jalankan tugas dan kita nak pastikan Datuk Mukhriz memang pemimpin yang disukai rakyat dan bukan cakap kosong," katanya.

Abu Hassan turut menasihati rakan-rakannya supaya memikirkan mengenai masa depan Umno dan bukan semata-mata mengejar habuan dan jawatan.

"Jangan kita lari nak habuan dan pangkat, tapi hari ini orang lari takut hilang pangkat dan juga sekarang ini orang lari nak kejar pangkat, nak jadi exco, nak jadi menteri, nak jadi menteri besar," katanya.
-TMI

ULASAN GB

Kalaulah dah sampai macamtu nak singkirkan Mukhriz, berkatkah kaedah sedemikian, wahai menteri agama UMNO, DS Jamil Mohd Khir?

Dan kepada AG yang mempersoalkan serangan TDM terhadap Najib itu samada berlandaskan Islam atau tidak, kita menyoal pula AG samada kaedah di atas yang terang-terang tidak berakhlak itu berlandaskan Islam atau tidak?

Ada pula menteri yang terlajak bodek, dari Kota Belud, menyatakan Najib tak terlibat di dalam penyingkiran Mukhriz? Agaknya rakyat mana yang nak percaya kenyataan Kota Belud itu? Sedangkan semua orang tahu siapa Basha dan Jamil Khir yang mengadakan sidang media awal untuk menyingkirkan Mukhriz?

Kita tidak menyatakan kita penyokong kuat TDM dan Mukhriz. Tetapi kaedah keji dan jelek yang dilakukan oleh Najib menyingkirkan Mukhriz itu akan tetap diketahui rakyat dan tidak akan diterima oleh manusia yang berfikiran waras apatah lagi jika berpegang kepada landasan agama. Hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. 

1 comment:

mansor said...

tapi UMNO, buat sogokan pun SPRM telah menghalalkannya...tengoklah kalau SPRM berani bertindak...kalau pembangkang , kabar2 angin dah cukup untuk tindakan tegas dan pantas.....hihihihi.....