Selasa, 12 Mei 2015

Umno tidak akan mampu mengubah fitrah hipokritnya – Tony Pua

tony impian srwk

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Tertinggi UMNO mempertahankan Presidennya Datuk Seri Najib Razak, menjadi petunjuk bahawa tidak ada harapan lagi untuk UMNO berubah.

Demikian ulasan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berikutan sikap Najib yang juga Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan terus berdiam diri terhadap usaha-usaha menyelamatkan 1MDB yang kini menanggung hutang berjumlah RM42 bilion.

“Sudah begitu banyak bukti yang menunjukkan Jho Low telah menggelapkan berbilion ringgit yang dipinjam 1MDB ke dalam akaun syarikatnya sendiri. Pun begitu, Najib terus menegaskan bahawa Jho Low tidak terlibat, dan Majlis Tertinggi UMNO pula menyokongnya.

“Ini menunjukkan pemimpin-pemimpin UMNO semuanya adalah perkumpulan hipokrit yang laparkan kuasa,” jelas Tony.

Pendedahan terbaru usaha menyelamatkan 1MDB dengan pembelian aset tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh Lembaga Tabung Haji baru-baru ini menyebabkan ramai pimpinan UMNO turut menekan Najib.

Mereka termasuklah Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, Naip Presiden Umno Datuk Shafie Apdal, malah sepupu Najib sendiri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga Menteri Pertahanan turut menuntut supaya juruaudit antarabangsa dilantik bagi menyiasat 1MDB.

Namun, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam sempena ulang tahun UMNO ke-69 menunjukkan semua pimpinan UMNO yang sebelum ini mengkritik Najib telah membuat pusingan ‘U’ dengan mempertahankan kepimpinan Najib Razak pula.

“Rakyat tidak boleh mengharapkan UMNO ubah DNA mereka,” ujar Tony yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

“Satu-satunya harapan yang ada ialah sekiranya UMNO terus berkuasa, korupsi, salah guna kuasa dan ketidakmampuan mentadbir bukan sahaja terus dibiarkan, bahkan UMNO akan terus merajalela dan semakin mengganas, seperti yang mereka lakukan sejak era Mahathir lagi” Tegas Tony. – Roketkini.com


Tiada ulasan: