Oleh Abu Hassan Adam
Jikalau mahu ditafsirkan bahawa keadaan UMNO kini berada pada kedudukan paling genting disebabkan masalah yang dihadapi oleh Presidennya DS Mohd Najib Tun Razak, maka aku merasakan bahawa UMNO sudah beberapa kali mengahadapi kegentingan yang sedemikian.
Perletakan jawatan Dato Onn Jaafar sebagai Presiden UMNO pertama pada tahun 1950 sudah merupakan peristiwa yang cukup malang bagi UMNO pada ketika itu. Namun peristiwa itu juga menampakkan ketegasan kedua-dua pihak bagi menegakkan prinsip perjuangan masing-masing.
Dato Onn bertegas untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu sedangkan ahli UMNO masih terus berpaut kepada prinsip bahawa UMNO adalah untuk orang Melayu dan tidak membenarkan kaum lain menganggotai UMNO. Lantas Dato Onn meletakkan jawatan dan keluar dari UMNO. Hebat perjuangannya.
UMNO menghadapi satu lagi ujian paling getir pada awal tahun 1980an apabila pertubuhan UMNO itu sendiri diharamkan disebabkan kesalahan teknikal yang menyebabkan mahkamah memutuskan tentang pengharamannya. Maka lahirlah UMNO Baru sehingga kini.
Kedudukan UMNO agak ‘gawat’ bermula pada awal Kurun ke 21 dan sehingga kini kedudukan UMNO adalah dalam keadaan terumbang ambing. Apakah keadaan kualiti kepimpinan UMNO itu sendiri yang menyebabkan UMNO berkadaan demikian ataupun disebabkan oleh punca-punca lain.
Aku hanya berani membuat penganalisaan hanya berdasarkan kepada pemerhatian rambang yang langsung tidak mendasarkan kesimpulan berasaskan fakta dan statistik.
Dulu UMNO berjuang untuk bangsa, agama dan negara dalam ertikata yang sebenar-benarnya dan lantas wujudlah pejuang-pejuang Melayu yang begitu gigih memperjuangkan idealisme perjuangan mereka tanpa penat dan lelah. Sebelum kemerdekaan perjuangan mereka adalah untuk membebaskan tanah air. Tidak ada ganjaran material yang dijanjikan kepada mereka selain daripada mengembalikan ibu pertiwi ke tangan mereka. Dan para pejuang dalam UMNO itu juga tidak memikirkan tentang ganjaran apabila mereka mencurahkan jasa bakti kepada negara.
Pada peringkat awal perjuangan lahirlah pejuang-pejuang tulin seperti Dato Onn Jaafar yang kemudiannya dituruti oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dato panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil dll. Terlalau ramai pejuang UMNO yang cuba dan telah mengembalikan maruah orang Melayu pada ketika itu. Dan mereka ini bukanlah merupakan ‘jaguh kampung’ yang boleh ‘dibeli’ dan diperkotak-katikan. Malah mereka adalah golongan yang boleh ‘bersepak-terajang’ di arena antarabangsa seperti mana pejuang-pejuang dari negara-negara lain.
Kini kelihatan dengan jelas bahawa UMNO ketandusan tokoh yang sedemikian. Kebanyakannya boleh ditakrifkan hanya sebagai ‘jaguh kampung’ yang hanya ‘nyaring’ kokoknya apabila berhadapan dengan orang kampung tetapi ‘menguku’ apabila berhadapan dengan masyarakat antarabangsa. Mereka ‘kaku’ dan ‘tergamam’ dan ‘gemuruh’ apabila berada di pentas antarabangsa apatah lagi apabila berhujah secara ‘impromptu’ tanapa teks di tangan.
Malangnya golongan UMNO yang sebegini dikatakan mewakili orang Melayu sedangkan orang Melayu yang bijak pandai yang boleh mengisi takrif ‘pejuang’ tulin ‘bersepah’ berada di luar UMNO. Disebabkan ketiadaan pejuang Melayu yang betul-betul hebat ‘berpencak’ di arena antarabangsa, maka ‘malap’lah imej Melayu bukan sahaja dikalangan masyarakat antarabangsa tetapi sentiasa dipandang rendah oleh masyarakat di negara Malaysia juga.
UMNO kini juga sudah ‘kehilangan’ tokoh-tokoh seperti TS Syed Jaafar Albar (Singa UMNO), Dato Harun Idris, Anwar Ibrahim yang telah ‘mewarnai’ era Pemuda UMNO dengan tindakan mereka yang begitu berani dan berkesan demi menegakkan maruah bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia. UMNO kini sudah ketandusan tokoh-tokoh yang betul-betul berjuang untuk memajukan bangsanya. Sumbangan dan jasa bakti mereka akan terus dikenang oleh bangsa walaupun mereka dipenjarakan ( seperti Dato Harun Idris dan Saudara Anwar Ibrahim) dan rakyat tetap merasakan baahwa mereka tidak bersalah dan terus menerus mengiktiraf mereka sebagai pejuang tulin.
Perubahan yang berlaku dalam kepimpinan UMNO kini adalah amat luar biasa. Pemimpin UMNO seolah-olah telah melupakan peranan yang harus dimainkan oleh mereka dalam memajukan negara, bangsa dan agama. Aku amat yakin kini bahawa tidak ramai lagi ahli UMNO yang dapat menghayati perjuangan UMNO sebagaimana yang termaktub ketika penubuhannya 69 tahun yang lalu.
Kita tidak akan ‘berjumpa’ lagi (mungkin) dengan pemimpin UMNO yang sanggup menjualkan harta benda miliknya demi untuk kepentingan perjuangan UMNO seperti mana yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman. Aku tidak pernah dengar kisah ahli wanita UMNO kini yang sanggup ‘melucutkan’ barang kemasnya sepertimana yang dilakukan oleh ahli Kaum Ibu UMNO yang sanggup melucutkan barang kemas mereka demi membiayai perbelanjaan rombongan kemerdekaan ke London. Dan aku tidak pernah dengar kini kisah seorang menteri yang sanggup meletak jawatan disebabkan
perselisihan pendapat mengenai sesuatu dasar negara sepertimana yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Ismail yang meletakkan jawatan disebabkan perselisihan pendapat dengan Tun Tunku Abdul Rahman.
‘Pejuang’ UMNO kini harus mengenang kembali perjuangan pejuang-pejuang lama yang betul-betul ‘tulin’ demi memajukan bangsa dan negara. Ahli-ahli UMNO kini seharusnya tidak menjadi ‘pak turut’ yang boleh ‘dicucuk hidung’ disamping mengelakkan diri dianggap sebagai memlliki ‘herd mentality’. Tak mungkin agaknya para ‘pejuang’ UMNO kini sanggup menggadaikan bangsa sendiri demi untuk mendapatkan ‘sesuap’ nasi. Dan para ‘pejuang’ juga tentu dapat menilai yang mana yang betul dan yang mana yang tidak betul mengenai dasar kepimpinan dalam UMNO itu sendiri.
UMNO memerlukan lebih ramai ‘Tun Dr Ismail’ yang boleh bertindak dengan tegas walaupun bertentangan pendapat dengan seorang ketua, sekiranya dirasakan tindakan seorang ketua itu tidak bersesuaian dan merugikan bangsa dan negara
UMNO kini ketandusan pemimpin yang sedemikian – pejuang tulin.-http://abuhassanadam.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan