Khairy Jamaluddin Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
 
 
 
BUKIT MERTAJAM - Soal tarikh mengundi pada hari bekerja tidak memberikan kelebihan kepada mana-mana pihak seperti mana yang didakwa pemimpin Parti Keadilan Rakyat, kata Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh dan sudah pasti semua parti yang bertanding harus berkerja keras untuk memanggil pengundi mereka di luar kawasan untuk balik mengundi.

"Ini satu gelanggang pertandingan yang sama rata di mana Barisan Nasional sendiri juga terpaksa memanggil pengundinya sendiri untuk balik mengundi.

"Tarikh ini bukan satu tarikh yang menimbulkan kemusykilan bagi satu-satu pihak, dua-dua pihak yang bertanding harus bekerja keras untuk memanggil balik pengundi mereka untuk membuang undi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program santai futsal di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas calon PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini akan turun kerana dipengaruhi oleh kerajaan pusat. 

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata tiga faktor yang menyebabkan sokongan pengundi muda kepada BN di Permatang Pauh semakin baik.

Beliau berkata tiga faktor itu termasuk pemilihan calon yang tepat, jentera pemuda yang mantap dan kemelut dalaman yang tidak berkesudahan dalam pakatan pembangkang.

"Ini trend yang berlaku dengan ketara dalam kalangan pengundi muda di Permatang Pauh menyebabkan sokongan terhadap pakatan pembangkang mula merosot.

"Calon BN kali ini adalah orang muda anak tempatan yang sememangnya berada di kawasan setiap masa seperti mana yang diharapkan pengundi dan yang penting bukan ahli Parlimen separuh masa," katanya.

Katanya, beliau turut menerima 53 borang keahlian daripada pemuda PKR Pusat Daerah Mengundi Taman Sembilang yang kecewa dengan kepimpinan parti itu, untuk menyertai UMNO. 

Beliau berkata ini satu petanda yang baik dan jentera pemuda harus melipatgandakan lagi usaha untuk mendekati hati pengundi muda kawasan berkenaan.

"Keretakan hubungan pakatan pembangkang juga dilihat sebagai bonus untuk BN meraih sokongan pengundi muda untuk memihak kepada BN.


"Saya berharap momentum sokongan yang semakin cenderung memihak kepada BN akan berkekalan," katanya.

Tambahnya, pengundi muda di Permatang Pauh harus memberi peluang kepada calon BN Suhaimi Sabudin untuk mewakili suara golongan muda di kawasan Parlimen itu.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh 7 Mei menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Dr Wan Azizah, Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia). - Bernama