Sabtu, 9 Mei 2015

'Tanah 1MDB dijual untuk bayar faedah pinjaman?'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Masa transaksi Tabung Haji membeli tanah daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah menimbulkan rasa curiga yang wang itu digunakan untuk membiayai bayaran faedah pinjamannya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Naib Presiden PKR yang juga Setiausaha Agung Rafizi Ramli berkata jumlah RM188.5 juta yang dibayar oleh Tabung Haji itu nampaknya lebih kurang serupa dengan nilai pembayaran faedah pinjaman yang perlu dilunaskan oleh 1MDB bagi hutangnya.

Ia, katanya juga, sama dengan laporan The Edge yang 1MDB perlu membayar faedah pinjaman AS$52.5 juta minggu depan.

"Apakah penggunaan duit pendeposit Tabung Haji ini adalah bertujuan untuk membantu 1MDB membayar faedah pinjamannya?

"Keadaan ini hampir sama dengan tindakan kerajaan persekutuan menyuntik RM950 juta ke dalam 1MDB pada pertengahan Mac lalu iaitu pada tarikh yang hampir sama dengan tarikh bayar faedah hutang 1MDB," tambah Rafizi.

Semalam, timbalan pengarah urusan yang juga CEO kumpulan Tabung, Johan Abdullah berkata, pembelian tanah milik 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) adalah pada kadar "diskaun".

Menurutnya, penilaian pasaran tanah itu dibuat oleh penilai profesional bebas dan pembeliannya adalah mengikut strategi pelaburan hartanah Tabung Haji.

Johan mengulas pembocoran dokumen itu di dalam talian, yang dikatakan menggariskan rancangan untuk Tabung Haji membeli dua bidang tanah daripada 1MDB yang dibebani hutang.

Tanah itu - yang terletak di lokasi paling utama di Kuala Lumpur - pada asalnya dijual oleh Putrajaya kepada cara 1MDB di bawah nilai pasaran. Laporan mengenai angka itu berbeza daripada RM74.20 sekaki persegi hingga RM90 sekaki persegi.

Berdasarkan kepada dokumen yang bocor itu, ada kemungkinan 1MDB menjual tanah itu pada harga RM2,779 sekaki persegi kepada Tabung Haji, dan dengan itu membuat keuntungan yang besar.

Lembaga Tabung Haji menafikan membeli Signature Tower (Fasa 2) di pusat kewangan TRX seperti yang dilaporkan.

Bagaimanapun, lapor Bernama, Tabung Haji ada membuat pelaburan hartanah bagi pembangunan menara kediaman (hartanah) di TRX.

Rafizi berkata, beliau yakin bahawa perjanjian jual beli tanah itu belum dimuktamadkan antara Tabung Haji dan 1MDB dan oleh itu, masih ada peluang untuk menghentikan jual beli tersebut.

Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor masih boleh menghentikan proses pindah milik tanah tersebut.

"Kesemua ini boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang dan ia adalah dalam bidang kuasa Tengku Adnan (yang bertanggungjawab dengan urusan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Najib Abdul Razak (pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB).

Rafizi menambah, beliau akan memanggil satu perjumpaan dengan pendeposit Tabung Haji pada hari Rabu depan untuk melancarkan kempen mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasanya menghentikan penggunaan dana Tabung Haji.
 
 

Tiada ulasan: