Shahbudin ragu-ragu sama ada Ketua UMNO
bahagian berani mempersoal isu semasa dalam perjumpaan dengan Najib pada
Isnin atau sekadar menjadi 'keyboard warriors'.
PETALING JAYA: Setiap 11 Mei, ulang tahun penubuhan UMNO disambut dengan ucapan juga seruan pengukuhan dan perpaduan dalam parti.
Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-69 hari ini (Isnin) bagaimanapun berbeza kerana dipenuhi dengan pertembungan, dakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Shahbudin Husin.
Dia berkata, pertembungan itu kerana kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti dalam kucar-kacir.
Katanya, pemimpin kanan UMNO sendiri mempertikai pentadbiran Najib yang sebelum ini hanya dikritik hebat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi blognya, shahbudindotcom.blogspot.com, dia menyenaraikan beberapa pemimpin tertinggi dalam kabinet yang turut mempersoalkan kreadibiliti Najib dalam pentadbiran dan beberapa isu melibatkan soal ketelusan.
“Beberapa hari sebelum ini,Tan Sri Muhyiddin Yassin bersuara dari Milan, Itali mahukan ketelusan dalam urus tadbir kerajaan dan mengatakan beliau “tak tahu nak jawap apa” mengenai 1MDB apabila berhadapan dengan rakyat.
“Datuk Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Hishammuddin, Khairy Jamaluddin dan beberapa pimpinan lain tidak segan-segan lagi bersuara mengenai beberapa kelemahan pentadbiran Najib serta mahukan tindakan segera diambil,” katanya.
Kritikan terbaru berhubung isu pembelian tanah 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dan ketirisan wang negara wang berlaku.
Malah, isu tersebut juga turut diberi perhatian rakan sekutu Barisan Nasional (BN), iaitu MCA, MIC dan Gerakan yang seolah-olah turut berjuang demi pelabur TH.
Shahbudin berkata, dia sangsi sama ada perjumpaan Najib dengan Ketu-Ketua UMNO Bahagian akan berakhir dengan pendebatan mengenai isu-isu semasa atau berdiam diri sekaligus membuktikan mereka (Ketua UMNO Bahagian) tidak lebih daripada ‘keyboard warrior’ yang hanya berani di alam maya.
“Adakah Zahid Hamidi, Hishammuddin, Khairy atau lain-lain pemimpin UMNO atau proksi mereka berani melontarkan soalan dan berhujah secara berdepan dengan Najib dalam perjumpaan nanti?
“Sama ada perjumpaan hari ini panas atau sebaliknya, atau pemimpin UMNO berani bersoal jawab dengan Najib atau tidak, yang pasti Tun Mahathir akan terus menyerang dan mengkritik kerana sokongan akar umbi jelas berpihak kepada apa yang diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri itu,” jelas Shabudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan