KELAB GREENBOC
Gadis ditahan polis himpunan Hari Pekerja dakwa terima ancaman rogol
Satu-satunya wanita antara 23 yang ditahan kerana terlibat dalam himpunan Hari Pekerja di Kuala Lumpur awal bulan ini, membuat laporan polis mendakwa beliau diugut akan dirogol oleh seorang anggota polis sebelum dibebaskan Selasa lalu.
Maisara Amira, 21, yang ditahan reman 4 hari bersama belia lain, membuat laporan di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada jam 4.30 petang Jumaat lalu, ditemani bapanya dan seorang peguam.
"Dia menerima ancaman rogol dari salah seorang pegawai polis apabila dia diminta memberi keterangan ketika dalam tahanan; dia diugut demikian sekiranya tidak mahu bekerjasama," peguamnya Nik Zarith Nik Moustpha memberitahu The Malaysian Insider.
Nik Zarith berkata kejadian itu didakwa berlaku di ibu pejabat polis Dang Wangi pada 5 Mei, beberapa jam sebelum Maisara dibebaskan pada hari sama.
"Ia terjadi pada jam antara 11.30 pagi dan 1.30 tengahari, semasa disoal oleh seorang pegawai polis.
"Ketika disoal itu, dia memilih untuk berdiam diri dan pegawai itu cuba mendapatkan maklumat daripadanya... pegawai polis itu menyebut kata-kata itu," katanya, sambil menambah, pada mulanya seorang pegawai polis wanita mengiringi Maisara semasa sesi itu tetapi dia kemudiannya diminta meninggalkan mereka.
"Dia (Maisara) tidak tahu nama pegawai (polis lelaki) itu, dia tidak memakai uniform," katanya.
Katanya, Maisara kini trauma dengan insiden itu.
"Ini satu perkara yang sangat serius kerana ia melibatkan maruah seorang wanita dan ia berlaku ketika dalam tahanan polis.
"Kami mahu polis melakukan siasatan, dan kami tidak mahu pasukan yang sama melakukannya kerana ia melibatkan ugutan jenayah oleh seorang pegawai terhadap seorang tahanan," kata Nik Zarith.
Kesemua 23 belia itu dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa selepas keterangan mereka diambil.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan
ULASAN GB
Kes di atas jika benar, mengingatkan kita mengenai satu kes seorang anggota polis, 57, merogol seorang gadis sekolah 15 tahun di dalam Balai Polis Binjai pada 2.30 petang, 15 Oktober 2009. Ketika itu GB mencatatkan begini:
Nafsu memang tidak mengenal siapa samada usia, pangkat, pekerjaan dan kedudukan. Tidak semua polis jahat tetapi yang ini diantara yang terjahat: Seorang Ketua Balai Polis berumur 57 tahun tergamak merogol remaja berusia 15 tahun di dalam Balai Polis.
GB pernah mengulas mengenai kejadian jenayah yang menjadi-jadi di kalangan anggota polis:
Kejadian jenayah menjadi-jadi di kalangan anggota PDRM kerana ada menteri yang membelanya - bahawa bilangan anggota polis yang melakukan jenayah adalah kecil berbanding jumlah anggota PDRM keseluruhannya.
Sindrom memberikan alasan sedemikian amat-amat tidak wajar kerana ia persis menggalakkan lagi perbuatan jenayah dan salahlaku polis yang sepatutnya bertindak membenteras jenayah - tetapi kini, mereka sebenarnya penjenayah.
Inilah senario yang hodoh berlaku di dalam KDN & PDRM.
Sebelum ini ada kes yang hampir sama, polis merogol remaja di dalam Balai Polis. Baca: Seorang anggota polis ditahan kerana merogol pelajar tingkatan 5 di dalam balai polis. GB telah membuat ulasan: Petikan:
Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...
Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?
Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?
Ingin GB tegaskan, kita tidak bermaksud untuk orang membenci polis, tetapi perbuatan polis itu sendiri mengundang kebencian rakyat terhadap mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan