KUALA TERENGGANU – “RM3 pun orang berkira sekarang ini, apatah lagi makanan yang mahal," jelas penjual Nasi Bajet KL, di Jalan Pasir Panjang, di sini.

Peniaga nasi bajet, Nor Christina Jefri Bernard, 38, berkata, dia yang berniaga hampir tiga bulan di kawasan itu dapat merasai sendiri kesan daripada pelaksanaan GST apabila jualannya berlaku sedikit penurunan pada awal April lalu.

“Sekarang dah ok, pelanggan pun ramai yang datang semula, mungkin peringkat awal dulu mereka masak sendiri tetapi menghadapi masalah kekangan masa, kemudian mengambil keputusan untuk membeli di sini semula.

“Kebanyakan pelanggan di sini adalah mereka yang sudah berkeluarga, pelajar kurang sebab di kawasan ini banyak rumah penduduk berbanding pusat pengajian tinggi,” ceritanya ketika ditemui di gerai Nasi Bajet KL berhadapan Pasar Bukit Besar, di sini.

Christina berkata, harga bahan mentah yang meningkat terutama selepas 1 April menjadi satu cabaran untuknya mencari bahan mentah yang murah dan berkualiti.

“Sebagai peniaga yang tersepit untuk menaikkan harga, saya perlu mencari sumber bahan mentah yang murah dan berkualiti. Seperti saya, setiap hari perlu sediakan lebih kurang lima kilogram beras, empat ekor ayam dan lain-lain lagi.

“Saya perlu cari bahan-bahan mentah ini di tempat yang lebih murah kerana tidak mahu menanggung terlalu banyak rugi,” jelasnya.

Manakala menurut rakan kongsinya, Nor Syuhada Abd Razak, 24, berkata, dalam masa sama, mereka turut membuat penghantaran terus kepada pelanggan.

“Penghantaran perlulah melebihi 10 bungkus ke atas, termasuk menerima tempahan daripada jabatan kerajaan dan swasta di sekitar Kuala Terengganu sahaja,” katanya.

Mereka berhasrat membuat penghantaran kerana memahami kekangan masa orang ramai terutama pekerja kerajaan dan swasta yang tidak mempunyai masa untuk keluar dan membeli makanan.

“Kami akan hantar sampai ke tangan pelanggan dan mereka tidak perlu risau," katanya.