Rabu, 20 Mei 2015

RM1.6b hasil kutipan GST bagi barangan import

MALAYSIAKINI


 


Sejumlah RM1.689 bilion diperoleh daripada pelaksanaan GST yang dikenakan ke atas barangan import setakat 10 Mei lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

"Data ini diketahui awal sebab bayaran dibuat sebelum barang-barang import dilepaskan dari kawalan Kastam di pelabuhan, sempadan dan lapangan terbang," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih belum boleh menyatakan anggaran pendapatan terkini bagi tempoh pelaksanaan GST sejak 1 April lepas kerana data berkaitan belum diterima sepenuhnya oleh Jabatan Kastam.

Katanya tempoh penyerahan data kepada pihak Kastam bagi perniagaan berpendapatan tahunan melebihi RM5 juta adalah pada atau sebelum hari terakhir bulan berikutnya iaitu 1 hingga 31 Mei 2015.

"Pada 1 Jun ini barulah pihak Kastam dapat menyatakan berapakah hasil kutipan GST bagi bulan pertama pelaksanaannya, manakala bagi perniagaan berpendapatan kurang RM5 juta, mereka perlu menghantar data untuk tempoh tiga bulan.

"Contohnya hasil GST bagi April, Mei dan Jun, datanya perlu dihantar pada 1 hingga 31 Julai 2015 dan pada 1 Ogos barulah Kastam tahu jumlah hasil itu dengan tepat," katanya ketika menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng).

Lee meminta kerajaan menyatakan jumlah hasil terkini daripada GST selepas sebulan lebih sistem percukaian itu dilaksanakan.

Ahmad berkata, semua transaksi berkaitan penghantaran data boleh dilakukan secara atas talian, manakala bagi tujuan pembayaran ia juga boleh dibuat secara atas talian atau manual dengan menggunakan cek.

Dalam pada itu, beliau berkata anggaran hasil daripada GST sebanyak RM23.2 bilion, seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah tidak termasuk penolakan hasil ke atas beberapa barangan yang baru diberikan kadar sifar, seperti minyak RON 95, gas petroleum cecair (LPG), diesel dan tambahan senarai ubat-ubatan serta alat bantuan orang kelainan upaya (OKU).- Bernama


 

Tiada ulasan: