Sabtu, 16 Mei 2015

Rasuah Menteri Sarawak : Biar Mahkamah Buat Keputusan

RAKYATNEWS




MIRI  - Tiada tindakan akan dikenakan terhadap menteri muda Sarawak yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa sehingga mahkamah membuat keputusan.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, buat masa sekarang, menteri muda itu akan dikekalkan dalam barisan kabinet negeri kerana siasatan masih berjalan dan adalah tidak adil mengambil tindakan kerana undang-undang menetapkan seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Individu ini (menteri muda) belum lagi didakwa di mahkamah bagaimana anda berkata dia bersalah, biarlah mahkamah yang membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama masyarakat Orang Ulu di sini hari ini.

Pada Rabu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah mendedahkan SPRM membekukan beberapa akaun bank bernilai RM4 juta milik menteri muda itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa. Jamidan berkata, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan berlakunya perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan kontrak pembinaan bangunan 16 tingkat Baitul Makmur II bernilai RM250 juta, iaitu bangunan milik kerajaan negeri.

Mengulas sesi dialog itu, Adenan berkata, masyarakat Orang Ulu melahirkan sokongan mereka berhubung pembinaan projek hidroelektrik Baram.

"Projek itu akan dimulakan secepat mungkin," katanya dan menambah ia akan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) tender dan mengikut garis panduan antarabangsa.

Beliau memberi jaminan pembabitan berterusan dengan masyarakat tempatan akan diberi keutamaan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Projek bernilai RM4 bilion itu membabitkan penempatan semula lebih 20,000 orang dari 25 kampung apabila projek itu bermula.

Tempoh jangka masa pelaksanaan projek itu masih belum ditetapkan.




Tiada ulasan: