Isnin, 11 Mei 2015

PM dan politik 'daun balik angin' Sabah

MALAYSIAKINI



 
 
 
Sokongan puluhan ribu rakyat Sabah dalam himpunan solidariti dengan Datuk Seri Najib Razak semalam disifatkan hanya "merebahkan" perdana menteri.

Ia sekali gus, kata pengamat politik Mohd Sayuti Omar (bawah), "memandu Najib menuju keranda untuk dibawa ke liang lahad".

Gagal membaca politik Sabah yang didakwa sering berubah, Sayuti berkata Najib tersilap menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad selepas terpesona dengan jumlah peserta dalam acaranya di Sabah.

“Najib lembap dalam mengemaskini status sokongannya.

"Politik orang Sabah, boleh terbalik dan berubah dalam masa beberapa minit sahaja.

"Politik orang Sabah adalah politik 'daun balik angin',” kata penulis yang dekat dengan Pakatan Rakyat.

"Orang Sabah boleh merubah pegangan politik dan sokongannya gara-gara hanya tidur mereka kerana diganggu mimpi dan igau atau perjalanan mereka tersepak batu.”

Ada ubi ada batas

Sayuti mendakwa rakyat di negeri itu mengalami keazaban politik sejak puluhan tahun akibat “dipersenda” BN dan tiba masanya mereka mempermain-mainkan Najib.

"Orang Sabah sebenarnya berdendam dengan orang Kuala Lumpur terutamanya parti yang dipimpin Najib.

"Apakah Najib boleh percaya dengan orang yang ada dendam? Ada ubi adalah batas," katanya.

Kemarahan itu, katanya, terus membara dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan munculnya kontroversi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Tabung Haji.

"Umpama orang terdesak dia akan melakukan apa sahaja termasuk perkara yang tidak masuk akal ataupun ganjil,” katanya.
 
 
 
 

Tiada ulasan: