Roketkini.com
TAWAU: Peruntukan bernilai RM600 juta untuk membiayai operasi Pusat Kawalan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) boleh dianggap sia-sia apabila kes penculikan terus berlaku.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin keadaan itu tidak boleh diterima kerana jumlah peruntukan yang diberi kepada ESSCOM meningkat ketara pada tahun ini.
“Esscom dapat kenaikan bajet berbanding RM75 juta pada tahun lepas namun dana itu gagal dibelanjakan sewajarnya untuk menjaga keselamatan awam apabila kes penculikan terus berlaku,” katanya.
Kelmarin, dua warga Sandakan dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran popular di tepi pantai Sabah.
Menurut laporan, empat lelaki bersenjata senapang automatik manakala yang lainnya menggunakan pistol memecah masuk restoran tersebut.
Ia bukanlah kejadian pertama seumpamanya belaku.
Tahun lalu, kes serupa berlaku di Lahad Datu melibatkan seorang warga China. Walaupun pihak ESSCOM sempat mengejar dan berlaku adegan tembak-menembak, kumpulan penculik itu akhirnya meloloskan diri.
Kata Foong Hin, penduduk Sabah terutamanya di bahagian timur biasanya melihat ESSCOM sebagai pasukan keselamatan yang sering menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) berbanding tugas sebenar mereka menjaga sempadan.
Justeru, Foong Hin yang juga ADUN Sri Tanjong mempersoalkan tindakan susulan ESSCOM terhadap operasi tangkapan PATI yang banyak dilakukan.
“Adakah mereka yang ditahan kem-kem tahanan dihantar pulang ke Filipina atau dibebaskan selepas beberapa pegawai penguatkuasa dirasuah?,” katanya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan