Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh berakhir malam
tadi dan seramai 71,890 pemilih layak untuk mengundi hari ini bagi
memilih wakil rakyat mereka.
PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon
BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman
Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Namun saingan sebenar ialah antara Suhaimi, yang juga setiausaha Umno
bahagian Permatang Pauh, dan Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR.
Sejak hari penamaan calon pada 25 April lepas, BN dan PKR
bersungguh-sungguh melaksanakan kempen masing-masing bagi menambat hati
pengundi.
Bagi PKR, Permatang Pauh adalah kubu kuat bekas penyandangnya Datuk Seri
Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun ekoran
sabitan tuduhan liwat.
BN pula mahukan kemenangan di Permatang Pauh bagi membawa perubahan di
kawasan itu, yakni pembangunan yang diperlukan para penduduknya.
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidddin Yassin dalam sidang media
pada hari penamaan calon berkata cabaran yang perlu dilalui BN pada PRK
Parlimen Permatang Pauh agak sukar dan diibaratkan seperti 'mendaki
gunung'.
Katanya, tidak mustahil Suhaimi mencipta kemenangan kerana beliau adalah
anak tempatan yang hatinya hanya di Permatang Pauh, sedangkan Dr Wan
Azizah adalah orang luar yang menjadi "wakil suami".
PKR dan Dr Wan Azizah pula banyak membangkitkan soal keadilan untuk
Anwar selain membangkitkan tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Sejak hari penamaan calon, BN lebih banyak 'menyerang' manakala PKR dan
Pakatan Rakyat 'bertahan' untuk menjawab segala isu yang dibangkitkan
oleh BN.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia
(UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, isu pelaksanaan GST
adalah satu isu nasional yang kesannya mungkin dirasai di semua
peringkat.
BN perlu menerima hakikat bahawa isu GST boleh mempengaruhi pengundi di kawasan Permatang Pauh jika tidak ditangani dengan baik.
"Ada kesannya (GST). Parlimen Permatang Pauh boleh dikira satu kawasan
bandar dan isu ekonomi agak kuat berbanding isu-isu lain," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan