Ahad, 10 Mei 2015

PAS: Isu perjanjian TH-1MDB boleh gugat Najib

MALAYSIAKINI


 


Kontroversi perjanjian tanah oleh Tabung Haji mungkin menandakan berakhirnya kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata MP PAS Temerloh Nasrudin Hassan.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu berkata jika perkara itu tidak diselesaikan dengan baik, ia juga mungkin menyebabkan Umno dan BN ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau sekiranya mereka gagal untuk selesaikan (isu ini) dengan baik dan mengikut apa yang dikehendaki rakyat, saya kira mungkin tergugat kedudukan perdana menteri.

"Mungkin juga Umno dan BN ditolak dalam pilihan raya," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya lagi skandal melibat Lembaga Tabung haji itu hanya menambahkan lagi kemarahan rakyat selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Selama ini GST dah menyebabkan rakyat bangkit, sekrang ni tambah lagi isu Tabung Haji.

"Tabung Haji ni bagi umat Islam, (satu) perkara yang sensitif," katanya.

Lembaga Tabung Haji berdepan kritikan selepas membeli sebidang tanah milik firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dipengerusikan oleh Najib.

Tanah di Tun Razak Exchange (TRX) itu dbeli dengan harga RM188.5 juta, bagaimanapun Najib menasihatkan supaya agensi itu menjualnya semula.


Tiada ulasan: