THE MALAYSIAN INSIDER
PAS menggesa Lembaga Tabung
Haji (TH) melakukan ‘tindakan mulia’ dengan membatalkan pembelian tanah
milik syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti
didedahkan sebuah blog baru-baru ini.
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata tindakan TH membuat laporan
polis berhubung kebocoran maklumat rasmi berkenaan pembelian tanah milik
1MDB itu memalukan.
"Ia jelas untuk menutup tindakannya yang menimbulkan kesangsian dan
kemarahan pencarum. Langkah lebih mulia ialah membatalkan pembelian
itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
TH semalam mengesahkan badan pengelola dana simpanan bagi umat Islam
untuk ke tanah suci Mekah itu membeli sebidang tanah daripada projek
pelaburan Tun Razak Exchange (TRX) yang terletak di tengah-tengah bandar
raya Kuala Lumpur bernilai RM188.5 juta.
Pembelian tanah itu didakwa mendapat "potongan" harga berbanding nilai pasaran semasa.
Badan pengelola dana simpanan itu merancang untuk membina sebuah menara
kediaman di tapak yang akan dibangunkan anak syarikat TH, TH Properties
Sdn Bhd - berpengalaman luas dalam bidang hartanah dan pembinaan
termasuk pembangunan perbandaran bercampur Bandar Enstek seluas 5.119
ekar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagaimanapun, TH menafikan kumpulan itu membeli sebidang tanah daripada
1MDB di parcel kedua TRX seperti diperkatakan blog "The Benchmark" yang
membocorkan dokumen didakwa memperincikan pembelian TH sebanyak 2 plot
tanah di TRX dengan jumlah modal RM772 juta.
Pada masa sama Husam juga mengulangi desakannya seperti sebelum ini yang menuntut pihak bertanggungjawab meletakkan jawatan
"Bahkan langkah mulia juga ialah pihak bertanggungjawab menawarkan
peletakan jawatan mereka termasuk atas sebab kebocoran yang memalukan
itu sendiri, selain tindakan pembelian yang tidak dapat diterima itu,"
katanya.
Sementara itu Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dalam satu
kenyataan turut mengutuk tindakan pengurusan TH membuat laporan polis
terhadap kebocoran dokumen.
Presiden Abim Amidi Abd Manan berkata, tindakan TH yang membuat laporan
polis menyerupai seperti pengurusan National Feedlot Corp apabila
skandal penyelewengan Pusat Fidlot Nasional terdedah kepada umum.
"Abim memandang berat tindakan ini kerana seolah-olah ada perkara yang
sulit dan mahu dirahsiakan dari pengetahuan umum. Tindakan ini serupa
dengan tindakan National Feedlot Corp yang mengambil tindakan terhadap
individu yang mendedahkan kepada umum," katanya.
Beliau berkata, TH sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk memberi
penerangan yang mampu mengekalkan dan mengembalikan keyakinan para
pendeposit.
"Abim yakin jika ketelusan dan kejujuran menjadi paksi pengurusan keberkatan akan menyusul," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan