GEORGETOWN - Sejumlah 58 pesalah trafik yang telah dikenakan waran tangkap ditahan di Pulau Pinang setakat ini sejak Ops Warta dimulakan semalam.
  
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata mereka ditahan di pelbagai lokasi di sekitar negeri ini termasuk di premis pekerjaan pesalah berkenaan.
  
"Ops Warta di negeri ini berjalan lancar dengan tiada pergelutan berlaku serta kesemua pesalah trafik yang ditahan memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Kontijen Pulau Pinang, di sini hari ini.
  
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Supt Ibrahim Abu Bakar berkata sejumlah 200 anggota dan pegawai polis trafik di negeri ini ditugaskan selama 24 jam sempena operasi itu.
  
Katanya jumlah waran tangkap dikeluarkan kepada pesalah trafik di negeri ini mencecah 48,000 dan pihaknya bertindak melakukan sekatan jalan di lebih 50 kawasan panas di seluruh Pulau Pinang.

 "Sekatan itu melibatkan tempat-tempat strategik yang menjadi laluan motosikal selain kenderaan persendirian dan perdagangan," katanya dalam kenyataan berasingan.
  
Ibrahim menggesa mereka yang mempunyai tunggakan menjelaskan saman dengan kadar segera dan tidak menunggu sehingga mendapat waran berikutan 5,000 hingga 6,000 waran lagi akan dikeluarkan kepada dalam tempoh terdekat.
  
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahim berkata Indeks Jenayah Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak 645 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
  
Katanya kadar jenayah yang dicatat sejak awal tahun ini hingga semalam ialah 3,063 kes berbanding 3,708 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
  
Beliau berkata strategi pihaknya menempatkan polis menerusi Ops Payung di tempat tumpuan orang ramai terutama lokasi pelancongan di Pulau Pinang telah berjaya menurunkan kadar indeks jenayah di negeri ini. - Bernama