Malah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, jika isu ini tidak ditangani dengan baik, rakyat akan ‘lari’ kepada parti politik yang mampu membantu mereka.
“Di negara barat, mereka (rakyat) akan lebih memilih untuk ‘apolitical’ iaitu tidak berminat langsung dengan politik... menolak terus politik jika ada perbalahan parti. Kesan kepada itu pada pilihan raya selalunya jumlah keluar mengundi turun, sebab mereka dah tak percaya pada parti politik.
“Tapi di Malaysia lain sedikit. Lagi mereka (parti politik) berbalah, rakyat makin mula minat politik. Dengan kewujudan media sosial buka ruang untuk rakyat suarakan pandangan tanpa sekatan. Jadi, apabila rakyat rasa terbeban dengan sistem ekonomi sekarang, mereka akan bersuara dan mendekati parti politik yang mana mereka rasa perjuangkan hak mereka,” katanya kepada Sinar Online.
Menurutnya lagi, PR boleh menang pada PRU14 dengan syarat pakatan pembangkang itu kukuh tidak goyang seperti sekarang.
“Kalau ada pilihan raya pada masa sekarang, agak sukar untuk BN. Isu ekonomi ini yang dihadapi oleh semua peringkat rakyat akan menghambat BN. Kalau mood politik pada hari ini kekal hingga PRU14, berat sikit untuk BN menang tapi dengan syarat PR tidak berpecah belah, kukuh.
“jika PR pun berpecah belah, kita kena lihat kemudianlah bagaimana suasana ketika itu nanti, sekarang tak boleh nak jangka lagi macam mana,” katanya.
Mengulas soal pengumuman kerajaan berhubung isu kad tambah nilai baru-baru ini, beliau menyifatkan kerajaan ‘terlupa’ bahawa golongan pelajar paling ramai terkesan dalam isu berkenaan.
“Pada saya pengumuman menteri berkenaan GST dikenakan ke atas kad tambah nilai itu tidak menyelesaikan keadaan. Walaupun alasan menteri sebelum ini sebut ramai warga asing guna prabayar, saya rasa tidak juga begitu. Paling banyak guna adalah golongan bawahan, pelajar.
“Golongan pelajar terutamanya yang sepatutnya dijaga pihak menteri sebab mereka ini pengundi dalam pilihan raya akan datang. Jika mereka tidak percaya pada parti politik tertentu, saya percaya parti politik itu akan terjejas teruk. Sebab isu-isu ini melibatkan kehidupan mereka. pengaruhnya besar. Faktor ekonomi memang boleh memberi kesan kepada politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan soal sasaran Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 namun sehingga kini, gaji minimum masih belum meningkat.
“GST memang baik tapi tempoh matangnya lambat. Jadi, apabila laksana GST, banyak barang naik... di situ isu penguatkuasaan. Perlu dimantapkan oleh pihak kerajaan. Kalau nak capai tahap matang pula, pendapatan isi rumah perlu dinaikkan.
“Sekarang ini, pendapatan isi rumah tak naik. Bila nak naik? Kalau tak naik, ia akan beri kesan yang tidak baik dari segi ekonomi di mana inflasi akan meningkat, rakyat pun tidak banyak berbelanja sebab terlalu berjimat cemat dalam perbelanjaan mereka. Jadi, pusingan ekonomi itu akan kurang dan beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi. GST ini banyak kesan rantaian.
“Sasaran tahun 2020 Malaysia akan jadi negara berpendapatan tinggi, tapi yang nak naikkan pendapatan itu bila? Itu yang kita tak tahu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan