shahbudindotcom
Minggu
ini Najib Razak mempunyai dua aturcara khusus berjumpa dengan pemimpin
UMNO yang dipercayai untuk menjelaskan perkembangan politik semasa
sambil menagih sokongan daripada mereka.
Pada
hari Ahad beliau akan berada di Tawau Sabah di mana dilaporkan antara
20 hingga 30 ribu orang bakal menyambutnya secara besar-besaran di sana.
Tetapi Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal yang sebelum ini bersuara agak
berbeza dengan mahukan isu 1MDB ditangani secara serius bagi
mengembalikan keyakinan rakyat, tidak akan hadir dalam majlis tersebut.
Beliau sebaliknya sudah pun berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah bersama keluarganya pada Jumaat lalu.
Kenapa
Shafie tiba-tiba mahu ke Mekah di ketika Najib mahu turun ke Sabah?
Tidak bolehkah pemergian menunaikan umrah dilewatkan barang sehari dua
selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri?
Pada
hari Isnin ini pula, Najib akan bertemu sekali lagi dengan Ketua-Ketua
UMNO Bahagian di Putrajaya, juga dipercayai untuk menjelaskan pelbagai
isu semasa kepada mereka. Ini adalah perjumpaan kali kedua antara Najib
dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian sejak berlakunya serangan dan kritikan
daripada Tun Mahathir Mohamad terhadapnya.
Selain
Shafie yang pasti tidak hadir dalam perjumpaan itu, Muhyiddin Yassin
yang kini berada di Milan, Italy juga tentunya tidak hadir sama. Dalam
pertemuan kali pertama Najib dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di PWTC
pada Mac lalu, Muhyiddin dan Shafie juga adalah antara yang tidak
menghadirinya.
Semalam,
nun jauh dari Milan, Timbalan Perdana Menteri berkata, isu 1MDB adalah
sebab utama BN gagal dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, baru-baru
ini.
Katanya, rakyat ingin tahu mengenai perkara itu tetapi beliau sendiri tidak tahu untuk menjelaskannya ketika berkempen.
Bersama-sama
Muhyiddin berada di Milan sekarang ini ialah Mustapha Mohamad, Nazri
Aziz serta beberapa Ahli Parlimen kerana menghadiri program rasmi
anjuran Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.
Adakah di Milan ketika ini sedang berlaku perbincangan mengenai perkembangan dan masa depan politik negara?
Dalam
pada itu, selain Shafie, seorang lagi Naib Presiden UMNO iaitu
Hishammuddin juga mulai berbeza dengan mengeluarkan kenyataan yang agak
keras apabila meminta selain audit yang sedang dijalankan dipercepatkan,
turut mahukan audit bebas antarabangsa dilakukan terhadap 1MDB bagi
merungkai segala persoalan yang bermain di fikiran rakyat ketika ini.
Ini
secara langsung menunjukkan ketika ini Muhyiddin, Shafie dan
Hishammuddin hampir selari dalam pandangan dan seolah-olah tidak mahu
menunggu lagi laporan audit oleh Jabatan Audit Negara sebagaimana yang
diumumkan oleh Najib sebelum ini.
Mereka
lebih mahukan Najib tampil sendiri tampil menjawab dan menjelaskannya
kepada rakyat berbagai isu meragukan mengenai 1MDB itu.
Di
waktu yang sama, selepas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan pelbagai perkara yang
membimbangkan rakyat dalam urusniaga antara 1MDB dengan Tabung Haji,
susulannya kemudian satu demi satu beberapa Pemuda Negeri pula menuntut
Najib dan kerajaan agar segera tampil menjawab dan menjelaskan mengenai
syarikat pelaburan yang bermasalah itu.
Jika
sebelum ini, hanya Tun Mahathir Mohamad yang tidak henti-henti
melontarkan persoalan dan mahukan jawapan daripada Najib mengensi 1MDB,
kini Pemuda UMNO nyata lebih lantang menuntut perkara yang sama.
Mereka
juga mengakui 1MDB adalah beban kepada parti dan kerajaan ketika ini
sehingga kesan penolakan daripada generasi muda dapat dirasai ketika
kempen di Permatang Pauh, baru-baru ini.
Sekaligus, memberi makna julangan Pemuda UMNO kepada Najib sebelum ini sudah tidak bermakna apa-apa lagi.
Dengan
semakin ramai pemimpin kanan UMNO mulai mempersoal dan menjauhi Najib,
kehadirannya di Sabah dan perjumpaan pusingan kedua dengan Ketua-Ketua
Bahagian kali ini mungkin tidak lagi seceria dan semeriah seperti
selalu.
Najib kini lebih dinanti bila mahu pergi berbanding perlunya dipertahankan lagi.
Gambar Muhyiddin, Mustapha dan Nazri ketika di Milan, Italy...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan