Roketkini.com
KOTA KINABALU: DAP Sabah mengecam sikap bermuka-muka Datuk Seri Najib Razak yang hanya mempedulikan rakyat Sabah ketika kedudukan goyah, sedangkan sebelum ini tidak ada sebarang bantuan diberikan.
Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Tze Pin berkata, tindakan bermuka-muka Najib jelas tidak memberi sebarang makna, malah suatu penghinaan kepada rakyat negeri ini.
“Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri selama enam tahun dan telah melalui satu penggal Pilihan Raya Umum (PRU), tapi kini dia mendakwa dirinya berhutang terhadap Sabah.
“Apakah beliau mengakui ketidakcekapannya dan pada masa sama akur dengan kebenaran bahawa rakyat Sabah telah dilayan secara tidak adil?” soal Jimmy.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata demikian merujuk kenyataan Najib bahawa beliau berhutang kepada rakyat Sabah ketika melancarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Belud, Ahad lalu.
Najib dalam ucapannya itu turut mendakwa Sabah masih ‘fixed deposit’ BN dengan menyatakan negeri bawah bayu itu mempunyai banyak potensi dan memerlukan pembangunan seimbang.
Jimmy menegaskan, kehadiran Najib ke Sabah sebenarnya tidak lebih hanya untuk mendapatkan sokongan pemimpin BN akibat desakan untuk meletakkan jawatan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.
Tambah Jimmy, biarpun Najib tidak membawa ‘gula-gula’ kepada UMNO Sabah dan rakyat seperti dijangkakan, namun tindakan beliau memuji pimpinan UMNO Sabah amat memalukan sama sekali.
“Ia begitu memalukan dan hipokrit apabila Najib untuk mengeluarkan ucapan sedemikian,
membuktikan Sabah bukan sahaja ‘fixed deposit’ BN tapi ‘fixed deposit’ paling diabaikan dan terpinggir.
“Najib menggelarkan dirinya pemimpin untuk semua, tapi beliau hanya mementingkan partinya dan pengundi yang setia kepada UMNO-BN. Inikah dia ciri-ciri pemimpin untuk semua?
Ujar Jimmy, inilah masanya untuk rakyat Sabah melihat watak sebenar Najib yang hanya menunjukkan keprihatinan ketika dalam kesusahan.
“Di manakah Najib apabila rakyat Sabah menggesa bantuan Kerajaan Persekutuan?
“Di mana dia ketika kita berdepan dengan segala jenis masalah dan kesulitan?” soalnya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan