Selasa, 19 Mei 2015

MB: Tolak isu agama, ASEAN perlu tubuh misi kemanusiaan Rohingya

Oleh: SYASYA SUFIAN


SHAH ALAM, 18 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anggota ASEAN mengambil inisiatif atas dasar kemanusiaan terhadap pelarian etnik Islam Rohingya.

Beliau berkata, semua pihak perlu menolak isu berlainan bangsa atau saling menyalahkan dan memberi tumpuan kepada tugas menyelamatkan beribu etnik Islam Rohingya yang memerlukan bantuan.

ROHINGYA-MT-7-622x414

“Kita perlu memikirkan penyelesaian strategik untuk jangkamasa panjang melibatkan keperluan makanan, perubatan dan tempat tinggal.

“Ini masa sesuai untuk semua organiasai masyarakat serantau berganding bahu dengan negara ASEAN dalam misi kemanusiaan menyelamatkan etnik Islam Rohingya yang ditindas,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN perlu segera mengadakan mesyuarat bersama Menteri Luar ASEAN (AFMM) untuk membincangkan isu itu.

“Antara isu kritikal adalah penempatan semula, penghantaran balik dan keselamatan yang perlu diberikan keutamaan.

MB Azmin

“Tidak dinafikan, Malaysia dan Indonesia akan menanggung beban percambahan kem pelarian. Brunei dan Singapura juga perlu memainkan peranan penting ke arah penyelesaian jangkamasa panjang,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Azmin juga mengecam keputusan badan kehakiman Mesir ke atas bekas presidennya, Mohamed Morsi yang dijatuhkan hukuman mati.

“Keputusan itu tidak wajar dan percubaan yang gagal termasuk melanggar setiap proses serta kaedah keterangan. Ia juga ibarat melenyapkan sistem demokrasi dan keadilan sejak rampasan kuasa berlaku oleh tentera dan tangan ghaib di rantau ini,” katanya.-NFN-


Tiada ulasan: