PULAU PINANG: Bimbang dengan kemungkinan PKR kehilangan undi penyokong
PAS di Permatang Pauh, timbalan presiden parti itu, Mohamed Sabu
menjaja keperluan untuk mereka terus memberi sokongan kepada DAP dan PKR
jika ingin menawan Putrajaya.
Mohamed Sabu atau dikenali Mat Sabu mencanang kronologi peristiwa yang
membuahkan Pakatan Rakyat dalam siri ceramah beliau bagi menyakinkan
penyokong PAS untuk mengundi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada
pilihan raya kecil kerusi parlimen itu Khamis ini.
Malah beliau berkata mantan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan
presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memimpin Kelantan dan
Terengganu hanya apabila PAS bergading dengan parti politik lain.
"Tahun 1978 kita lawan BN tetapi tidak menang, tidak boleh ambil semula
Kelantan, tahun 1982, kita lawan semula BN untuk ambil Kelantan pun
tidak boleh juga, tahun 1990, bila BN pecah, kita tahaluf dengan
Semangat 46, kita lawan UMNO, kita menang dan tawan Kelantan.
"Nik Aziz jadi menteri besar selepas menang, maknanya kita ambil
pakatan politik dan bukan PAS seorang," katanya di hadapan kira-kira 150
ahli PAS dan orang luar yang datang memerhati di Markaz Besar PAS
Pejabat ADUN Permatang Pasir.
" Kita menang di Terengganu setelah ada barisan alternatif walaupun
Keadilan tidak berapa besar di Terengganu, kita sokong dia, dia sokong
kita, Tok Guru Haji Hadi dapat menjadi menteri besar Terengganu.
"Hasil daripada pakatan dan keadilan," kata beliau, merujuk kepada
kejayaan PAS menubuhkan kerajaan negeri di Terengganu pada pilihan raya
umum 1999 namun ia tewas pada PRU seterusnya.
Kupasan sejarah itu diungkit Mat Sabu berikutan gertakan ahli-ahli PAS
di peringkat akar umbi yang mengancam mahu menafikan 10,000 undi untuk
Wan Azizah di Permatang Pauh. Mereka marah kerana tindakan PKR membidas
Hadi sebelum ini.
Kelmarin, ketua penerangan PAS Bagan Azmi Jaafar berkata ramai
penyokong PAS di kawasan itu akan menolak Wan Azizah pada hari mengundi.
Azmi berkata mereka tidak akan mengundi untuk orang yang biadab dan tidak menghormati serta seringkali memperlekehkan Hadi.
Setakat ini Hadi enggan memberikan sokongan terbuka kepada Wan Azizah,
sekali gus menambah kegelisahan Mat Sabu dan pemimpin Anwarista lain
dalam PAS yang ghairah berkempen untuk memenangkan presiden PKR itu.
Semalam Hadi berkata beliau terlalu sibuk dengan majlis lain selain
mendapatkan rawatan sehingga tidak sempat untuk berkempen di Permatang
Pauh.
Hadi mempunyai pengaruh luas dalam PAS Pulau Pinang dan ketiadaan
beliau di Permatang Pauh dijadikan isyarat oleh akar umbi PAS menolak
Wan Azizah.
Dalam ceramahnya, Mat Sabu juga berkata hasil kerjasama dengan DAP dan
PKR, pemimpin-pemimpin PAS dapat rasa menjadi menteri besar di
negeri-negeri lain seperti Perak dan Kedah.
Justeru beliau mendakwa amat penting untuk PAS memberikan sokongan kepada Wan Azizah pada PRK Permatang Pauh.
Bagaimanapun Mat Sabu tidak mengupas tindakan pemimpin-pemimpin PKR
mengutuk Hadi serta menentang hasrat PAS melaksanakan hudud di Kelantan
yang menjadi punca kemarahan ahli PAS di Permatang Pauh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan