OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Rafizi Ramli memberi amaran kepada Putrajaya supaya
tidak menggunakan dana awam untuk menyelesaikan pinjaman berjumlah RM3.6
bilion oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu dibayar
kepada 6 bank antarabangsa diketuai Deutsche Bank.
Setiausaha agung PKR itu berkata, hutang yang berjangka masa panjang
selama setahun itu, dibuat Oktober tahun lepas, perlu dibayar
selewat-lewatnya September tahun ini.
"Saya cuba mengumpul maklumat tidak rasmi daripada pemberi maklumat
yang bekerja di bank-bank terbabit dan daripada pasaran kewangan untuk
mendapat gambaran lebih jelas mengenai pinjaman ini.
"Maklumat tidak rasmi yang saya dapati amat membimbangkan kerana terma
pinjaman itu amat membebankan rakyat," kata ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi berkata, maklumat yang diperolehnya menyebut, cagaran pinjaman
itu ialah wang simpanan 1MDB di BSI Singapura yang sebelum ini
dilaporkan tidak wujud.
"Jika cagaran ini tidak wujud, ada kemungkinan besar 1MDB perlu
mendapatkan dana lain untuk menggantikan cagaran tersebut," katanya.
Rafizi pada sidang medianya berkata, pinjaman berkenaan dilaporkan di
dalam majalah-majalah kewangan antarabangsa dan menarik minat perhatian
pasaran kewangan antarabangsa di saat 1MDB berhadapan dengan masalah
membayar hutangnya kepada bank-bank tempatan.
"Saya dimaklumkan satu surat sokongan dikeluarkan oleh Putrajaya yang
membolehkan pinjaman ini diluluskan kepada 1MDB. Apa terma-terma surat
sokongan itu?" soalnya.
Pemimpin muda PKR itu turut mempersoalkan kadar faedah yang dikenakan dalam tempoh setahun tersebut.
"Adakah benar kadar faedah bagi tempoh setahun adalah 11% seperti
dimaklumkan kepada saya? Jika benar, kadar ini sudah mencecah kadar
'overdraft' dan menunjukkan terdesaknya 1MDB," katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan, pinjaman ini adalah satu lagi
"bail out" yang terpaksa ditanggung rakyat susulan hutang berkenaan
perlu dibayar dalam tempoh terdekat ini.
"Sebelum ini, setiap kali 1MDB perlu membayar hutangnya, kerajaan
terpaksa menyuntik wang atau satu urus niaga yang merugikan rakyat akan
berlaku," katanya.
Beliau berkata, antaranya adalah pada Mac 2015 lalu, apabila Putrajaya
terpaksa menyuntik RM950 juta dalam bentuk "standby credit" yang
kebetulan diluluskan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang.
Selain itu, pada Mei 2015, Lembaga Tabung Haji membeli hartanah di Tun
Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB pada kadar untung berlipat kali ganda
kepada 1MDB yang kebetulan dimuktamadkan beberapa minggu sebelum 1MDB
perlu membayar hutang.
"Saya yakin jika rakyat tidak mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak berlaku telus mengenai hutang RM3.6 bilion yang perlu dibayar
1MDB menjelang September ini, lebih banyak dana rakyat dan harta
kerajaan akan disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang ini," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan