Roketkini.com
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek yang mempertahankan langkah syarikat telekomunikasi menaikkan harga kad prabayar pasca Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata, ini kerana Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan sebelum ini mengumumkan harga kad prabayar tidak naik dan akan dikuatkuasa pada 1 Mei.
Namun kata Tony, kenyataan kedua Menteri itu bercanggah antara satu sama lain.
“Syarikat-syarikat telekomunikasi tidak menurunkan semula harga pra GST kad prabayar semalam. Shabery Cheek juga mempertahankan mereka dan mendakwa penurunan harga itu agak mustahil dilaksanakan kerana kerumitan mengubah sistem perisian.
“Shabery Cheek ‘menang’ dalam mempertahankan syarikat telco. Ini benar-benar tamparan hebat kepada rakyat Malaysia ekoran pelaksanaan GST. Alasan menteri itu semuanya adalah omong kosong saja,” jelas Tony.
Menurutnya syarikat telekomunikasi bersikap seperti sebuah kartel dalam menggunakan cukai sebagai cara mencatut dengan alasan pelaksanaan GST.
Ujarnya, di bawah pentadbiran sebelum Perdana Menteri Najib Tun Razak, pengguna hanya membayar RM 9.43 untuk mendapat nilai perkhidmatan sebanyak RM 10 ringgit bagi satu kad prabayar.
Namun sekarang tanpa mengambil kira cukai, pengguna terpaksa membayar enam peratus lebih dari RM10 yang dibayar bagi perkhidmatan tambah nilai bernilai RM 10.
Tony turut menyelar kenyataan Najib yang menggesa pihak berkuasa bertegas terhadap peniaga-peniaga yang kononnya memanipulasi GST bagi mendapatkan keuntungan, namun dalam masa yang sama tidak bertindak kepada syarikat-syarikat besar.
“Kenapa pihak berkuasa dibenarkan bertegas kepada peniaga biasa yang terpaksa menaikkan harganya kerana GST?
“Kenapa syarikat telco yang besar-besar secara semberono menaikkan harga, mendapat untung lebih menggunakan alasan GST namun dilayan dengan begitu baik?
“Najib mesti hentikan dasar layanan tidak adil yang hanya memihak syarikat besar.
“Akta anti-pencatutan mesti dikuatkuasa secara adil terhadap peniaga yang menaikkan harga selepas GST, selain tegas terhadap syarikat-syarikat besar tidak bertanggungjawab yang mendapat untung berbilion ringgit,” tegas Tony. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan