Khamis, 7 Mei 2015

Golongan belia kekal miskin, bukti BR1M tidak selesaikan masalah

vsivakumar

Roketkini.com


IPOH,: DAP mendesak kerajaan agar mengambil langkah-langkah lebih proaktif untuk meningkatkan pendapatan golongan belia dan bukannya hanya memberikan tumpuan kepada sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata, pemberian BR1M langsung tidak menyelesaikan masalah sosio ekonomi golongan belia.

Menurutnya, ini terbukti berdasarkan statistik bahawa seramai 2.2 juta orang golongan belia masih mendapat gaji kurang daripada RM3,000 sebulan.

“Kemiskinan di kalangan para belia adalah sesuatu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Memberi BR1M kepada golongan belia tidak akan menyelesaikan masalah sosio ekonomi yang dihadapi golongan ini, perlu ada pendekatan yang lebih komprehensif dan inklusif dalam membantu pendapatan mereka, “ katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut maklumat yang diberikan Kementerian Kewangan seramai 3,631,394 belia di bawah umur 40 tahun menerima BR1M daripada jumlah keseluruhan 7,286,268 orang.

Jumlah tersebut menjadikan 49.8 peratus penerima BR1M adalah terdiri daripada golongan belia miskin dalam negara.

Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP menegaskan, tidak ada makna jika Malaysia mencapai status negara maju tetapi sebilangan besar daripada golongan belia berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan kekal berada dalam kategori miskin.

Katanya lagi belia juga perlu dibantu supaya mereka tidak terlibat dalam gejala-gejala sosial yang boleh membawa kemudaratan kepada diri dan keluarga mereka.

“Penglibatan belia dengan anasir-anasir jahat akan mendorong mereka melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang.

“Persaingan dan tekanan hidup yang melampau seperti kenaikan harga barangan ataupun inflasi juga boleh mendorong golongan ini menyertai kegiatan-kegiatan haram seperti kongsi gelap dan sebagainya,” kata beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: