Jumaat, 1 Mei 2015

Gelombang merah anti-GST banjiri KL

MALAYSIAKINI


 


GALERI FOTO

Perhimpunan menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, sebulan selepas ia diperkenal.

Ia kebetulan jatuh pada Hari Pekerja hari ini.

Berikut laporan langsung daripada wartawan Malaysiakini di lapangan:



6.20pm: KLCC – Hampir semua peserta himpunan sudah bersurai. Suasana kembali tenang seperti biasa.

6.00pm: Dataran merdeka- Free Anwar Petition Coliation turut muncul di himpunan hari ini untuk mengutip tandatangan daripada orang ramai.

Koordinatornya berkata mereka telah mula mengutip tandatangan di Sogo awal pagi hingga kini.

Katanya, mereka dapat mengutip tandatangan sebanyak 3,000 hari ini.

"Kita beri peluang kepada mereka yang tidak puas hati dengan sistem kehakiman untuk meluahkan perasaan melalui tandatangani ini," katanya.

Lau berkata, matlamat mereka adalah untuk mengutip sejuta tandatangan dan menyerah kepada Agong untuk menuntut pembebasan Anwar.

"Dari pelancaran kempen mengutip tandatangan pada bulan April hingga kini, kita telah mengumpul kira-kira 50 ribu tandatangan," katanya.

5.45pm: KLCC – Sekumpulan 30 orang aktivis “anarkis” masih enggan bersurai walaupun perhimpunan diisytihar tamat.

Ketegangan berlaku apabila orang ramai menghalang polis daripada merampas kenderaan tolak jualan.
5.30pm: KLCC – Tian Chua mengisytiharkan protes hari ini berjaya.

“Ini kejayaan rakyat,” katanya.

5.20pm: KLCC – Orang ramai dan pemimpin Pakatan mula beredar. Kehadiran keseluruhan dijangka 20,000.

Kira-kira 3,000 masih berada di kawasan itu. Anggota polis kelihatan membantu melancarkan lalu-lintas.

5.10pm:  Sekumpulan 20 orang buta dari Solidariti Orang Buta Malaysia turut muncul dalam himpunan anti-GST.

Mereka merungut perlaksanaan GST telah menyusahkan orang buta kerana semakin banyak orang buta diragut oleh perompak.

"GST menyebabkan orang semakin miskin, maka kami dijadikan sasaran peragut.

"Mereka mula-mula datang buat baik dengan kita kemudian dompet kita diragut.

"Kami pergi membuat laporan polis tetapi polis mahu kita kecam muka peragut. Kami buta macam mana nak lukis muka peragut?" kata Fadil, 42 yang hanya menjalankan perniagaan kecil sendiri.

Dia turut merungut perlaksanaan GST menyebabkan barang dan peralatan orang buta semakin mahal.

"Malah, Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) turut kenakan GST pada kita," katanya dengan marah.

"Harga barang juga makin mahal, kita bukannya kaya.

"Dulu makan di kedai hanya harga RM6 dengan nasi dan air, kini kena bayar RM8," rungutnya.

5pm: KLCC -  Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat membacakan deklarasi anti-GST kepada orang ramai yang mahukan cukai itu dimansuhkan.

Tokoh ulama PAS Ahmad Awang kemudian memimpin bacaan doa.

“Ya Allah, kami berkumpul hari ini dengan semangat jihad, dengan semangat Tok Janggut untuk melawan GST.

“Berikanlah kami kekuatan. Berikanlan tentera-Mu ini kekuatan untuk melawan GST,” katanya.

4.50pm: KLCC – Kira-kira 1,000 masih tinggal di KLCC.

4.45pm: KLCC – Ucapan berkumandang sekurang-kurangnya di tiga tempat. Di depan Affin Bank, Setiausaha PKR Rafizi Ramli menyelar Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

“Masuk sekolah balik Ahmad Maslan. Dia tidak faham GST,” kata Rafizi.

4.25pm: Jalan Ampang – Suar dinyalakan menyebabkan asap oren menyelubungi kawasan itu.

Ia dikatakan dinyalakan oleh kumpulan “anarkis” yang tidak terlibat dalam jawatankuasa Kita Lawan.

"Ia dipercayai kumpulan sama yang membakar suar di depan Masjid Jamek.

4.20pm: KLCC - Penunjuk perasaan berdiam diri sebentar bagi menghormati suara azan yang sedang berkumandang. Sejurus tamat mereka menyambungnya dengan laungan takbir.

Kawasan di Jalan Ampang, dekat KLCC sesak. Penghadang dipasang bagi mengelakkan penunjuk perasaan memasuki halaman KLCC.

4.15pm: Jalan Ampang – Orang ramai dari Jalan Ampang membanjiri jalan. Jalan raya sesak teruk.

KLCC – Lebih ramai orang menuju ke arah kawasan itu. Dianggarkan kira-kira 15,000 menyertai perhimpunan hari ini.

Aktivis orang kurang upaya (OKU) Isaiah Jacob berucap bahawa GST membebankan golongan itu.

“Kerajaan memang bangsat, mereka kejam. Mereka patut bantu orang kurang upaya,” tambahnya.

3.55pm: Ibu pejabat polis daerah Dang Wangi – Orang ramai berlaku sambil mengusik dan anggota polis dengan lirik berbunyi "terima kasih abang polis" ketika melalui kawasan itu.

Polis mengawal keadaan sejak pagi dan tiada insiden dilaporkan setakat ini.

3:15pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman – Peserta himpunan daripada Sogo, sekurang-kurangnya 4,000 orang sudah sampai ke persimpangand Dataran Merdeka.

Dipimpin anggota Parlimen Batu Tian Chua, kumpulan pemuzik yang menggelarkan diri mereka sebagai The BangsArt menghiburkan orang ramai dengan paluan deram dan lagu-lagu bertema perjuangan.

3pm: Jalan Raja – Orang ramai bertambah kepada 10,0000 di Dataran Merdeka dan ramai lagi dijangka tiba di tempat bersejarah itu.

Sogo – Anggota sekretarian Kita Lawan Mandeep Singh umumkan 2,000 sedang berarak ke Dataran Merdeka. Mereka memenuhi Jalan Tunku Abdul Rahman.

2.50pm: Jalan Raja - Penunjuk perasaan banjiri kawasan sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dipimpin oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, mereka melaungkan slogan “Kita Semua Tok Janggut” - mengenang perjuangan menolak cukai yang dikenakan penjajah British seratus tahun lalu.

2.35pm: Sogo – Naib Presiden PKR Tian Chua ketika berucap atas kenderaan pacuan empat roda memberitahu kira-kira 1,500 orang di kawasan itu bahawa mereka akan berarak ke Dataran Merdeka dan KLCC sebentar lagi.

2.20pm: Masjid Jamek – Kesesakan lalu-lintas di Jalan Tun Perak selepas 2,000 orang membanjiri kawasan itu.

Kenderaan lalu-lalang juga membunyikan hon tanda sokongan. Laungan menuntut Perdan Menteri Datuk Seri Najib Razak kedengaran.

Tiada ulasan: