MALAYSIAKINI
Walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dikenakan ketika
menambah nilai prabayar telefon, cukai itu akan tetap dikenakan berdasar
penggunaan.
“Cukai GST untuk tambah nilai prabayar akan dikenakan atas penggunaan ataupun usage-based.
“Kerajaan berpandangan cara ini adalah lebih wajar kerana kerajaan tidak
akan mengambil cukai sebelum perkhidmatan digunakan,” kata Menteri
Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Bagaimanapun, katanya, walaupun lebih kos dikenakan, faedahnya akan
dikembalikan kepada rakyat melalui penambahbaikan kualiti perkhidmatan
telekomunikasi.
“Kaedah ini saya anggap menang-menang kepada semua pihak,” katanya dalam sidang media di kementerian itu di Putrajaya.
“Pertama kerajaan masih dapat kutip GST untuk dikembalikan pada rakyat.
Ini tanggungjawab syarikat telekomunikasi memastikan pembangunan
infrastruktur (meningkatkan kualiti perkhidmatan telco), kerajaan boleh
tambah perkhidmatan lain.”
'Tak guna murah kalau tiada 3G'
Tambahnya tidak ada guna sekiranya rakyat menginginkan perkhidmatan atau barangan yang murah tetapi tidak berkualiti.
“Apa guna murah tetapi panggilan putus tidak ada 3G tidak boleh menggunakan aplikasi WhatsApp,” katanya.
Selepas kekusutan berkaitan harga selepas GST, kerajaan hari ini
bersetuju dengan formula “beli RM10 dapat RM10” untuk harga tambah nilai
prabayar telefon.
Menurut Jabatan Penerangan kabinet meminta syarikat telekomunikasi
(telco) melaksanakan kaedah dan pendekatan itu sepenuhnya dalam tempoh
enam bulan.
Menteri bertanggungjawab sebelum ini mengakui wujud kekeliruan dan percanggahan kenyataan dalam isu itu dan memohon maaf.
Pihak kastam sebelum ini mengarahkan telco menetapkan semula harga kad
prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST
pada 1 April.
Namun, arahan yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Mei ditangguh selepas
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat kenyataan
bahawa agak mustahil perkara itu dilaksanakan kerana kerumitan untuk
membuat konfigurasi semula sistem bagi menyelaraskan harga jualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan