MALAYSIAKINI
Memasuki pusingan kedua kempen pilihan raya kecil parlimen Permatang
Pauh, BN dan PKR kini dilihat lebih menggiatkan bentuk kempen mereka
dengan menaikkan pelbagai papan iklan.
Sebelum ini, tinjauan Malaysiakini
di sekitar Permatang Pauh mendapati bahan kempen termasuk papan iklan
dari PKR yang mengkritik pelaksanaan Cukai Barangan dan perkhidmatan
(GST) serta mengecam pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi BN pula, mereka juga dilihat tidak melepaskan peluang dengan turut
menaikkan papan tanda yang mengkritik pentadbiran kerajaan Pulau Pinang
yang diketuai Lim Guan Eng.
Papan iklan yang baru kelihatan hari ini di Jalan Permatang Pauh itu,
turut memaparkan karikatur mengkritik tindakan kerajaan negeri yang
didakwa antaranya menaikkan cukai pintu, harga rumah dan air serta
ketiadaan rumah kos rendah.
Malah, papan tanda itu turut tertulis slogan "bagi MIE peluang, undilah BN".
Di samping itu, BN turut meletakkan poster calonnya Suhaimi Subudin di
kawasan sekitar Permatang Pauh, tetapi gambar Pengerusinya Datuk Seri
Najib Razak masih lagi tidak kelihatan walaupun tempoh berkempen
memasukk hari kesembilan.
Selain itu, turut ditemui kain rentang yang bertulis "Jentera PAS
dilarang masuk. Tinggalkan pemikiran kolot. Baru boleh bersama kami".
Guan Eng jawab
Kain rentang itu juga diletakkan logo PKR dan DAP tanpa logo PAS. Ia
kelihatan di bulatan berhampiran Dewan SP Arena Seberang Prai.
Bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab menggantung kain rentang itu.
Sementara itu, diminta mengulas papan iklan yang mengkritik kerajaan
negeri, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Pakatan tidak
akan melayan perkara itu.
MP Bagan yang juga setiausaha agung DAP berkata isu berkaitan air melibatkan kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.
Ditanya
sama ada Pakatan akan turut membina papan tanda bagi menjawab kritikan
itu, Guan Eng berkata perkara itu tidak perlu kerana pihaknya akan
menumpukan pada isu GST.
"Mereka (kerajaan Persekutuan) yang lakukan, kita yang kena. Yang cadangkan (tarif air naik) ialah Pusat.
"Saya rasa kita hanya nak tumpukan isu utama iaitu GST. Kalau kita nak
layan mereka pun tengok pada kemampuan kita. Kita tak ada nak bagi
makan, minum percuma," katanya kepada Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan