Ahad, 8 Mac 2015

Rakyat bukan suka-suka nak buat demonstrasi

 
Itu adalah hak rakyat yang tidak boleh diketepikan atau dipandang ringan


Che Rosli Che Mat


PETALING JAYA: “Hak rakyat untuk buat demonstrasi asalkan tidak mengganggu ketenteraman awam dan mereka pun bukan suka-suka nak buat. Pas sokong tetapi jangan sampai timbul provokasi hingga jadi huru hara,”.

Itu kata Ahli Parlimen Hulu Langat, Che Rosli Che Mat ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan rakyat di pusat Kuala Lumpur petang semalam.

Katanya, apa yang dibuat oleh kumpulan penyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah hak rakyat yang tidak boleh diketepikan atau dipandang ringan.

“Biarlah mereka buat dan tak perlu diganggu selagi tidak berlaku kekecohan. Bagi saya, apabila rakyat membuat demonstrasi begitu, kerajaan perlulah melihat kenapa ada tindakan begitu.

“Rakyat bukan suka-suka nak buat demonstrasi tetapi mereka buat melibatkan hukuman ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Che Rosli ditemui ketika mengadakan Gotong Royong Perdana Mencegah Denggi di Taman Seri Nanding, Hulu Langat pagi tadi.

Semalam, satu perhimpunan aman diadakan di Kuala Lumpur bagi membantah keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar berhubung kes liwat dengan pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail kini sedang membuat rayuan pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong.

“Apa yang dibuat oleh Wan Azizah itu kami sokong penuh tetapi untuk pusingan pertama ini, kami tidak menandatangani apa-apa dokumen sokongan.

“Biarlah Wan Azizah uruskan dan kami menyokong dari belakang. Jika ada rayuan pusingan kedua, kami pemimpin Pas akan bersama Pakatan Rakyat untuk turunkan tandatangan menyokong usaha Wan Azizah,” katanya.

Ujar Che Rosli, dia yakin rakyat akan terus bersama PR untuk menyokong pembebasan Anwar.

Tiada ulasan: