MALAYSIAKINI
PKR dan DAP Sabah memutuskan hubungannya dengan PAS di negeri ini
susulan ketegasan parti Islam meneruskan pelaksanaan hudud di negara
ini.
Dalam kenyataan bersama, dua parti ini berkata mereka akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat tanpa parti Islam.
Kenyataan itu juga menegaskan pemimpin-pemimpin Islam dalam PKR tidak
menolak tuntutan hudud dalam al-Quran tetapi hanya menolak pelaksanaan
enakmen hudud di Malaysia.
Kenyataan mengejutkan itu ditandatangani oleh pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin dan pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong.
Ia merupakan susulan daripada keputusan DAP Sarawak minggu lalu menarik diri daripada gabungan parti pembangkang itu.
Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan faktor keadaan semasa.
"Bagaimanapun kami tetap komited untuk perjuangan dalam Pakatan antara PKR dan DAP.
"Kami berharap PAS tidak meneruskan matlamat untuk melaksanakan hudud
tetapi dengan jelas menunjukkan mereka serius untuk melaksanakannya,"
tegas mereka.
Menurut pemimpin berkenaan, mereka tidak lagi dapat meneruskan kerjasama apabila PAS masih bertegas untuk melaksanakan hudud.
"Jadi, dengan hati yang berat kami memutuskan untuk memutuskan kerjasama politik dengan PAS," kenyataan itu dipetik.
Awal hari ini, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya menjawab "tidak tahu" apabila diminta mengulas masa depan Pakatan.
Di peringkat kebangsaan, DAP telah memutuskan hubungan kerjasamanya
dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat sebagai
penggerak utama terhadap agenda pelaksanaan hudud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan