Jumaat, 27 Mac 2015

Maaf Tun Musa, pendirian Umno hanyalah untuk terus berkuasa f




Oleh Ng Kee Seng 


Bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam telah menyeru partinya agar menyatakan pendirian terhadap usaha PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.Namun adakah Umno dan pemimpinnya akan menuruti seruan itu? Jawapannya kita semua sudah tahu.

Umno tidak akan menyatakan pendiriannya, kerana satu-satu pendirian parti itu adalah untuk kekal berkuasa dengan apa sahaja cara – walaupun ia menjejaskan perpaduan negara. Ini dapat dilihat melalui sikap tolak ansurnya kepada pentaksub kaum dan agama.

Rakyat jelas mengetahui bahawa sokongan penuh Umno terhadap pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu adalah sebahagian daripada agenda politiknya.

Kekuatan politik Umno kini pada tahap paling lemah dalam sejarah, dan ia menggunakan perpaduan Melayu dan agama untuk kekal relevan dan berkuasa.

Itulah satu-satunya sebab mengapa Umno kini berterusan mengambil hati PAS. Malangnya bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, PAS kini diketuai oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pro-Umno.

Dengan berbaik dan menyokong agenda PAS, Umno telah berjaya memecah-belahkan Pakatan Rakyat – gabungan yang telah melemahkan kerajaan Umno-BN dalam PRU ke-12 dan 13.

Dalam dua pilihanraya umum itu, Pakatan berjaya menubuhkan kerajaan di lima negeri pada tahun 2008, dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen buat pertama kali dalam sejarah.




Maka, satu-satunya agenda dan pendirian Umno buat masa ini adalah menghancurkan kesatuan Pakatan, dan ia menjalankan rancangan tersebut dengan cekap melalui “rakannya” Hadi Awang.

Namun Pakatan bernasib baik apabila PKR menyeimbangkan agenda perkauman dan agama Umno dengan tidak menyokong usaha hudud PAS di Parlimen atas dasar parti itu memiliki pandangan berbeza berkaitan hudud.

Dalam satu kenyataan dari Cordoba, Sepanyol dan dilaporkan the Malaysian Insider, Musah Hitam berkata, Umno perlu segera menyatakan pendirian ke atas hudud PAS dan tidak berpura-pura terkejut dengan usaha parti itu untuk melaksanakannya di Kelantan.

Musa berkata: “Hudud tidak sesuai bagi sebuah negara seperti Malaysia…Saya amat kecewa dengan Umno sendiri, seolah-olah terpinga (dengan usaha PAS) dan hingga sekarang masih belum menentukan pendirian tegasnya. Saya boleh dikatakan begitu lama khuatir atas polisi dan agenda Umno di sini.

“Umno mesti mengambil pendirian tegas. Ini ialah isu nasional yang berimplikasi panjang dalam negara di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.

“Umno tidak mampu dianggap seolah-olah cuba melebihi PAS dalam hal ini. Umno janganlah mahu menjadi lebih PAS daripada PAS sendiri!”

Dengan keputusan DAP dan PKR untuk tidak menyokong hudud PAS apabila ia dibentang di Parlimen nanti, giliran Umno dan BN pula untuk menjelaskan sama ada mereka menyokongnya.

Bagaimana dengan pendirian parti komponen BN, terutama MCA, MIC dan Gerakan.

Musa berkata, orang ramai tidak harus merasa hairan dengan tindakan PAS kerana parti itu “begitu lama dan konsisten mereka mengutarakan manifestonya melaksanakan hukum ini.”

“(Dan) Semua parti pembangkang yang ada di dalam Pakatan Rakyat pula janganlah berpura-pura tidak mengetahuinya,” tambahnua lagi.

Pada masa sama, Musa menegaskan kembali pendiriannya bahawa hudud tidak sesuai untuk negara kita.

Sebagai seorang bekas penganjur Umno, saya penuh percaya hati sanubari Umno, sejak ditubuh hingga sekarang, berpendirian hudud tidak sesuai bagi Malaysia yang berupa negara majmuk berbagai keturunan dan agama ini.

“Kalau saya tersalah faham dalam hal ini, Umno harus menentukan pendiriannya secepat mungkin. Isu ini sangat penting dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Bukan sahaja negara yang akan menanggung akibatnya tetapi Umno juga akan menghadapi akibat buruk sebagai parti politik yang begitu banyak berkhidmat kepada bangsa dan negara begitu lama.

“Janganlah hendaknya Umno memusnahkan diri sendiri. Moga kenyataan saya ini direstui Allah swt,” katanya lagi.- http://bm.theantdaily.com


Tiada ulasan: