SHAH ALAM: Konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju' akan tetap
dipertahankan meskipun Pakatan Rakyat (PR) kini dilihat sering
bertelagah, tegas Datuk Iskandar Abdul Samad.
Pesuruhjaya PAS Selangor itu kemudiannya berpendapat tidak ada
keperluan untuk mengubah konsep itu memandangkan kerjasama di antara
PAS-PKR-DAP masih berjalan lancar, terutamanya di Selangor.
"Walaupun ada masalah tetapi kita masih boleh selesaikannya. Kita masih
lagi dapat bekerjasama dan bersahabat dengan meneruskan agenda-agenda
kita bersama.
"Di sini (Selangor) kita di dalam DUN ini terdiri daripada semua parti
yang ada. Kita dapat mentadbir kerajaan dengan baik dan hari ini pun
kita mendapat pujian daripada Tuanku Sultan," katanya yang ditemui
pemberita di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pagi tadi.
Iskandar yang juga ADUN Chempaka terlebih dahulu diminta mengulas
kenyataan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk
Phahrolrazi Zawawi bahawa pertelingkahan antara parti-parti komponen PR
tidak akan berkesudahan selagi wujud terma 'bersetuju untuk tidak
bersetuju'.
Menurutnya, konsep itulah yang sebenarnya merosakkan kerjasama PAS-PKR-DAP dalam beberapa hal.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat konsep
'bersetuju untuk tidak bersetuju' tidak membawa masalah kepada gabungan
berkenaan memandangkan sebarang keputusan yang akan dibuat turut
mengambil kira pandangan ketiga-tiga parti itu.
"Tidak bermasalah. Di dalam Islam sendiri, kita dibenarkan untuk
bersetuju untuk tidak bersetuju kerana perbezaan pendapat akan
mengukuhkan sesuatu keputusan yang dibuat. Kita tidak boleh ambil sikap
diktator, enggan dengar pandangan dan maklum balas daripada pihak lain.
"sebagai sebuah parti yang mengamalkan prinsip demokrasi dan hak
memberikan pandangan, sudah tentu kita meraikan pandangan ini. Namun
akhirnya kekuatan PR adalah bertindak dan membuat keputusan atas
semangat konsensus dan muafakat.
"Banyak isu besar mendepani PR telah berjaya diselesaikan kerana ada
permuafakatan dan konsensus di dalam kepimpinan. Dan ia mesti
dipertahankan oleh semua pihak," katanya lanjut.
PAS dan DAP pada ketika ini dilihat agak 'dingin' berikutan pengumuman
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memutuskan hubungan dengan Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi masih komited dengan PAS.
Keputusan itu dibuat ekoran PAS bertegas mahu melaksanakan hudud di
Kelantan, sedangkan dakwa DAP, hudud tidak terkandung dalam agenda
bersama Pakatan Rakyat.
Ini ditambah dengan tindakan Hadi yang menghantar notis usul Rang
Undang-undang Persendirian (RUU) bagi melaksanakan hudud di Kelantan
kepada Dewan Rakyat, dan tindakan itu disifatkan DAP sebagai tidak jujur
dan tidak bermaruah.
PAS pula mempertahankan pelaksanaan hudud kerana ia adalah hak
demokrasi parti itu selain pendirian itu berdasarkan konsep 'bersetuju
untuk tidak bersetuju' terhadap hukum tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan