MALAYSIAKINI
Berada sendirian di dalam kokpit pesawat penerbangan 4U9525 Germanwings,
pembantu juruterbang Andreas Lubitz secara manual memulakan prosedur
terbang menurun dan tidak memberi respons ketika juruterbang dan krew
merempuh pintu yang dikunci sehingga pesawat itu terhempas di kawasan
pergunungan di Perancis.
Itu
adalah penemuan yang diumumkan semalam oleh pendakwa Marseilles, Brice
Robin, yang ditugaskan menyiasat kes membunuh diri selepas penerbangan
yang membawa 150 orang itu terhempas ketika dalam perjalanan ke
Dusseldorf dari Barcelona.
Menggelarkannya sebagai "peristiwa yang paling dahsyat" dalam sejarah
penerbangan Lufthansa, pengerusi syarikat induk Germanwings, Carsten
Spohr berkata syarikat itu "terkedu" dengan apa yang berlaku itu.
Robin berkata siasatan berubah apabila ia jelas menunjukkan bahawa nahas
itu adalah akibat tindakan Lubitz untuk menghempaskan pesawat itu.
Bernafas
seperti biasa, Lubitz tidak memberi respons ketika ketukan pada pintu
kokpit yang dikunci itu semakin kuat, penggera kecemasan mula berbunyi
apabila pesawat itu hampir terhempas. Dia juga berdiam diri walaupun
pelbagai percubaan dari pengawal trafik udara untuk mendapatkan
maklumat.
Kemungkinan juruterbang keluar dari kokpit untuk ke tandas apabila
pintunya dikunci secara automatik, kata Robin. Orang di dalam kokpit
perlu menekan butang untuk membuka semula pintu itu.
Lubitz juga mungkin telah menekan butang untuk mengunci pintu ketika juruterbang cuba masuk semula ke kokpit, kata Spohr.
Pesawat itu mempunyai dua kod akses di pintu kokpit, satu yang biasa dan
satu lagi kod langkau untuk membolehkan krew masuk dari luar sekiranya
tiada respons dari dalam kokpit. Tetapi kod langkau itu boleh disekat
dari dalam kokpit.
Menurut fail audio selama10 minit pesaat itu menurun, seolah-olah
kebanyakan penumpang tidak menyedari bahawa ada sesuatu berlaku sehingga
sejurus sebelum pesawat itu terhempas, apabila ketukan pada pintu
semakain kuat dan terdengar bunyi jeritan dari dalam kabin.
Tidak ada tanda-tanda bahawa nahas itu akibat serangan pengganas, kata
Robin, sambil menambah bahawa tindakan itu seolah-olah perbuatan
membunuh diri tetapi tidak boleh disifatkan sebagai membunuh diri
apabila membabitkan begitu ramai mangsa lain.
Namun, motif Lubitz masih tidak jelas. Terdahulu, pihak berkuasa Jerman
mengesahkan kepada dpa bahawa Lubitz berasal dari Montabaur di
Rheinland-Pfalz, berhampiran Frankfurt, dan pihak berkuasa bandaraya
Dusseldorf mengesahkan Lubitz berusia 27 tahun, dan bukannya 28 tahun
seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Lubitz mula bertugas dengan Germanwings pada bulan September 2013 dan mempunyai 630 jam pengalaman penerbangan.
Pihak berkuasa Jerman menjalankan pemeriksaan latar belakang Lubitz dan
tidak menjumpai apa-apa yang luar biasa, kata Menteri Dalam Negeri
Thomas de Maizière.
Rumah Lubitz di Dusseldorf telah diperiksa dalam usaha pihak berkuasa mencari petunjuk terhadap motif nahas tersebut.
De Maizière berkata rekod perisikan, pangkalan data polis kebangsaan dan
rekod Lufthansa sendiri telah disemak sejurus selepas kemalangan itu,
tetapi tidak ada maklumat penting ditemui.
"Kami memeriksa seluruh anak kapal dan penumpang untuk tanda-tanda
keganasan atau sebarang kebimbangan keselamatan yang lain, dan hasilnya
adalah negatif," katanya.
Keluarga Lubitz dan keluarga juruterbang telah berlepas ke Perancis dan
telah dimaklumkan mengenai penemuan pendakwa itu. Keluarga mangsa, yang
kebanyakannya berkumpul pada sebelah petang di satu tempat berdekatan
lokasi kemalangan itu, juga telah dimaklumkan mengenainya.
Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Sepanyol Mariano
Rajoy, pemimpin kedua-dua negara mangsa nahas itu, berkata mereka
terkejut dengan apa yang telah berlaku.
"Saya amat terkejut dengan berita tersebut," kata Merkel, sambil
menambah bahawa tidak ada penjelasan untuk tragedi itu. "Ia melampaui
apa-apa saya dapat bayangkan."
Banyak penemuan datangnya dari fsalah satu daripada dua kotak hitam
pesawat, yang mengandungi perakam suara. Ia ditemui di lokasi
kemalangan, di mana serpihan pesawat itu bertaburan meliputi kawasan
empat hektar di pergunungan terpencil di selatan Perancis itu.
Pihak berkuasa masih mencari kotak hitam kedua yang mengandungi perakam
data penerbangan. Presiden Perancis Francois Hollande berkata selongsong
yang rosak teruk yang ditemui pada hari Rabu tidak mengandungi peranti
itu.
"Kerja-kerja mencari amat sukar, kawasan itu berbahaya, ia sangat curam
dan licin," kata ketua pasukan penyelamat gunung, Olivier Cousin, kepada
dpa.
Pegawai dari Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat menawarkan
bantuan agensi itu kepada penyiasat Eropah untuk mengumpulkan maklumat
mengenai kemalangan itu.
Penyiasat dari Perancis, Jerman dan pasukan polis Interpol antarabangsa sudah berada di kawasan kemalangan itu.
- dpa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan