Ahad, 29 Mac 2015

Basmi rasuah, bukan laksana GST

jimmy wong

Roketkini.com


KOTA KINABALU: Daripada tergesa-gesa mahu melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan membebankan rakyat, ada baiknya kerajaan membasmi dulu rasuah dalam negara, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin.

Beliau berkata, semasa GST mula diperkatakan beberapa tahun lalu, kerajaan telah menjadikan Singapura sebagai contoh tapi negara itu tidak pula dijadikan contoh dalam ketegasan mereka memerangi rasuah.

Menurut Jimmy, salah satu sebab ekonomi Singapura jauh lebih kukuh dari Malaysia ialah masalah rasuah di negara itu dibasmi habis-habisan.

“Laporan Audit Negara yang dijalankan sering mendedahkan wujudnya penyelewengan dan ketirisan wang kerajaan.

“Ketirisan ini menyebabkan kerajaan kehilangan berbilion ringgit, sebagai contoh skandal-skandal kewangan terbesar negara seperti PKFZ dan 1MDB yang didedahkan di Dewan Rakyat.

“Jika kerajaan bertindak tegas memerangi ketirisan dan rasuah, berbilion ringgit boleh diselamatkan dan Malaysia akan terus maju tanpa GST,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jimmy yang juga Pengerusi DAP Sabah turut menegaskan bahawa GST di Singapura jauh berbeza dari Malaysia.

Jelasnya, di Singapura hanya syarikat yang mempunyai ‘turnover’ sebanyak $1 juta Singapore Dollar (RM2.7 juta) ke atas sahaja dikenakan GST.

Tambah beliau, ekonomi dan matawang Singapura juga jauh lebih kukuh berbanding Malaysia.

“Jika satu ketika dulu RM1 bersamaan dengan $1 Singapore Dollar, kini perbezaannya amat ketara iaitu nilai ringgit ketinggalan 75 peratus.

“Dalam bahasa mudah, orang Singapura lebih kaya 75 peratus daripada orang Malaysia.

“Bagi warga Sabah pula, nilai ringgit di sana berbanding Singapura adalah ketinggalan sekitar 85 peratus akibat kos sara hidup yang lebih tinggi dari Semenanjung Malaysia,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: