Jumaat, 27 Mac 2015

Universiti Malaysia gagal tersenarai sebagai universiti dunia paling pesat membangun

 OLEH ANISAH SHUKRY






Universiti di Malaysia gagal menduduki senarai 7 universiti baru paling pesat membangun di dunia yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) biarpun negara jiran, Singapura melalui Universiti Teknologi Nanyang (NTU), memperoleh tempat pertama walaupun baru berusia 24 tahun.

Senarai itu melibatkan institusi pengajian tinggi di bawah usia 50 tahun yang semakin meningkat naik dalam kedudukan 400 universiti teratas dunia THE sejak 2011, dan di kalangan 100 universiti terbaik di bawah umur 50 tahun.

Bagaimanapun, sementara NTU yang ditubuhkan pada 1991 berjaya meningkat 108 tempat dalam Rangking Universiti Dunia THE dalam tempoh 4 tahun, tiada universiti di Malaysia memecahkan rekod berkenaan.


Fran Langdon, seorang wakil THE, memberitahu The Malaysian Insider keadaan itu sebahagiannya disebabkan hakikat yang banyak institusi Malaysia enggan mengemukakan data mereka untuk digolongkan dalam ranking itu.

"Bagaimanapun, melihat kepada universiti di Malaysia yang menyerahkan data kepada kami (walaupun malangnya mereka tidak menunjukkan prestasi cukup kuat untuk disenaraikan), secara umumnya, universiti Malaysia menerima markah agak rendah untuk reputasi dan juga untuk citation," kata Langdon, sambil menambah dua faktor itu merupakan indikator paling penting dalam Rangking Universiti Dunia THE ini.

"Satu isu yang membimbangkan bagi Malaysia secara keseluruhan ialah, boleh dikatakan kurangnya perhubungan dengan ranking dunia. Kami dapati sesetengah universiti di Malaysia masih belum sedia berkongsi data, yang saya rasakan satu peluang besar yang dilepaskan.

"Keengganan untuk terbuka tentang data mereka bermakna kita tidak boleh mengukur mereka dibandingkan dengan rakan mereka di pentas pendidikan dunia, ini satu kerugian besar."

Bagaimanapun, Langdon berkata, ketidakupayaan Malaysia menduduki senarai institusi muda paling pesat membangun itu "tidak mengejutkan" kerana hanya 7 institusi yang cukup syarat menduduki senarai itu.

Di tempat kedua ialah Universiti Maastricht, Belanda, yang meningkat 96 tempat sejak Rangking Universiti Dunia THE 2011, diikuti Universiti Warwick, yang naik 54 tempat.

Seterusnya ialah Korea Advanced Institute of Science and Technology yang naik 42 tempat, diikuti Pompeu Fabra University, Sepanyol, École Polytechnique Fédérale de Lausanne, Switzerland dan Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, yang masing-masing naik 21, 12 dan 11 tempat.

Putrajaya mempertahankan kedudukan suram universiti di Malaysia dalam penilaian ranking global tersebut dengan merujuk kepada hasil yang diperolehi sesebuah institusi pengajian tinggi pada usia muda, namun Pengarang THE Phil Baty sebaliknya menjelaskan senarai itu membuktikan universiti tidak perlu mengambil masa lama untuk menjadi bertaraf dunia – ia perlu lebih berani.

"Dengan kepimpinan terbaik, tumpuan yang jelas – dan sokongan kewangan yang kukuh – 7 universiti yang meningkat naik itu membuktikan apa yang dibangunkan orang lain dalam masa beberapa abad boleh dicapai mereka dalam masa beberapa dekad,” kata Baty dalam satu kenyataan media.

"Mereka ialah kumpulan institusi yang benar-benar menarik perhatian dan dinamik yang sepatutnya menjadi contoh kepada negara lain, di mana universiti baru yang berwawasan boleh memecah tradisi orde global dunia."

Menurut THE, analisa terhadap 7 institusi terbaik itu menunjukkan 3 kualiti penting sesebuah universiti perlu ambil: kesan citation, pendapatan dari industri dan pandangan antarabangsa.

"Kesan citation" merujuk kepada berapa kerap kertas penyelidikan sesebuah universiti dijadikan rujukan ahli akademik lain dan pengaruh penyelidikannya kepada dunia.

"Pendapatan daripada industri" berkaitan sejauh mana syarikat bekerjasama dengan ahli akademik dan mengaplikasikan hasil penyelidikan mereka kepada dunia sebenar.

"Pandangan antarabangsa” pula mengukur jumlah pelajar dan kakitangan luar negara yang dapat dipikat sesebuah universiti serta sebanyak mana ia menjalinkan kerjasama dalam menyediakan kertas penyelidikan antarabangsa dengan institusi lain.

"Indikator berkaitan penyelidikan, seperti 'kesan citation' – berapa banyak penyelidikan Malaysia digunakan dan dipetik ahli akademik lain seluruh dunia – mungkin merupakan satu-satunya bidang di mana universiti Malaysia tidak mencapai prestasi yang sepatutnya," Langdon memberitahu The Malaysian Insider.

"Pendek kata, fokus yang lebih dalam bidang ini mungkin akan meningkatkan prestasi universiti Malaysia."

Langdon berkata bagi jangka panjang, Malaysia boleh memperbaiki kedudukannya dengan memberi tumpuan lebih kepada meningkatkan reputasi akademik dan indikator kewangannya.

"Memang bidang inilah yang paling banyak menyaksikan penambahbaikan di kalangan kebanyakan universiti Asia Timur yang berada di kedudukan yang tinggi.

"Bagaimanapun, tidak ada resipi senang, mudah, untuk berjaya," katanya.

Ahli Parlimen DAP Dr Ong Kian Ming memberitahu The Malaysian Insider, tidak mengejutkan Malaysia tidak termasuk senarai 7 universiti terbaik dunia THE berikutan prestasi yang suram dalam ranking tahunan itu.

"Senarai itu menunjukkan kita masih cuba mengejar mereka yang sudah memintas. Dulu kita ada universiti terkemuka seperti Harvard, Cambridge dan Oxford, dan sekarang kita mempunyai senarai universiti baru yang memintas universiti Malaysia,” katanya.

Ditanya mengapa institusi Malaysia berada pada kedudukan begitu teruk berbanding Singapura, Ong berkata pengurusan universiti, dan bukannya pembiayaan, merupakan faktor utama yang menentukan prestasi keseluruhan.

"Universiti kita tidak mahu berubah, bagi membolehkan mereka bersaing dengan universiti lain di seluruh dunia. Contohnya, ada yang mungkin tidak mahu menerbitkan tulisan yang mencapai piawaian antarabangsa, mungkin kerana mereka lebih selesa tidak menulis dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan bukan satu isu kerana bajet untuk universiti tempatan meningkat sejak 10 tahun yang lalu, dan akan terus diperkukuhkan menerusi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin.

"Tidak boleh gunakan dana sebagai alasan. Universiti Sains Malaysia (USM) diberi status universiti apex dan menerima pembiayaan tambahan, tetapi itu tidak membantu memperbaiki kedudukannya," kata Ong


Tiada ulasan: