Ahad, 29 Mac 2015

Hudud Hanya Alat Memecahkan Lawan?

shahbudindotcom


Sebetulnya masih tidak diketahui bilakah usul persendirian yang mahu dibawa oleh Presiden Pas, Haji Hadi Awang berkaitan pindaan Enakman Kanun Jenayah Syariah Kelantan atau dalam bahasa mudahnya undang-undang hudud, mahu dibentangkan di Parlimen.

Yang jelas, ia tidak mungkin sempat dibawa dalam sesi Parlimen yang sedang berlangsung sekarang walaupun Haji Hadi sudah menghantar notis mengenainya.

Tetapi berdasarkan kenyataan dua pemimpin kerajaan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz, usul itu juga belum pasti dapat dibentangkan dalam sesi yang berikutannya.

Ini kerana Parlimen, kata mereka, akan mengutamakan terlebih dahulu aturan urusan berkaitan kerajaan sebelum usul persendirian. Hanya setelah selesai bab kerajaan, barulah usul persendirian diberikan laluan.

Tetapi urusan pembentangan berkenaan kerajaan pula adalah banyak dan sentiasa bertambah. Tidak mustahil pada sesi Parlimen berikutnya pun usul persendirian Haji Hadi ini masih tiada ruang untuk mencelah.

Jika begitu, ia mungkin hanya dapat dibentangkan dalam sesi berikutnya lagi, lagi dan lagi. Semuanya tidak pasti.

Bagaimanapun, pada ketika ini isu hudud ini sudah terlalu meluas diperkatakan dan mulai bertukar menjadi senjata untuk memusnahkan pihak lawan pula.

Hudud seolah-olah telah menjadi alat politik untuk kepentingan pilihanraya akan datang. UMNO yang melihat kesepakatan dalam PR perlu dimusnahkan agar BN terus dapat mempertahankan kuasanya, sedang berusaha ketika ini menjadikan hudud sebagai alat untuk melaga-lagakan antara Pas dengan DAP.

Ramai pemimpinnya menyokong Pas dan mengecam DAP kerana dianggap mencampuri urusan berkaitan Islam. Pas juga dipuji kerana cekal dan berani untuk menegakkan hukum Allah walaupun pendirian sebenar UMNO sama ada menyokong atau menolak usul persendirian Haji Hadi nanti belum lagi dapat dipastikan.

Sementara Najib Razak sedang melengah-lengahkan masa untuk menyatakan pendirian berhubung perkara ini, apa yang diharapkan oleh UMNO ialah hudud in berupaya memecah-belahkan PR dengan cara Pas keluar atau ditendang daripada gabungan itu.

Jika Pas keluar dan kemudian bertanding secara sendirian dalam pilihanraya nanti, ia tentulah rahmat besar bak bulan jatuh ke riba bagi UMNO.

Tetapi Pas juga menyedari hal ini.  Tidak semua pemimpin dalam Pas mahu berpecah daripada PR. Memang ada kelompok tertentu dalam Pas yang merasakan PR ini ibarat "motor buruk"  yang  selalu rosak, namun ramai juga yang percaya kerosakannya masih boleh diperbaiki lagi berbanding menjadikan BN sebagai "motor ganti".

Sebab itu, Pas juga menuntut agar Najib segera menyatakan pendirian rasminya berkenaan hudud ini. Jika UMNO menyokong, parti itu berisiko untuk bermasalah dengan rakan-rakan komponen yang lain dalam BN manakala jika menolak pula bemakna sokongan selama ini termasuk menawarkan diri dalam Jawatankuasa Teknikal hanyalah retorik semata-mata. Ia juga menyebabkan UMNO hilang nilai Islamnya di mata pengundi Melayu.

Jika hudud memungkinkan Pas terus bermasalah dengan DAP, hudud juga sebenarnya menjadikan UMNO serba-salah antara menjaga hati rakan-rakan bukan Islamnya dalam BN atau mahu menunjukkan ia juga parti yang memperjuangkan Islam dan penegak hukum-hukum Tuhan.

Akhirnya, selain hudud untuk kepentingan  politik, ia juga adalah senjata politik untuk menyerang dan memusnahkan pihak lawan. Perkara yang lebih realistik sebelum hudud dilaksanakan seperti kekangan Perlembagaan, sokongan majoriti dalam Parlimen, persediaan dan sebagainya tidak lagi dihiraukan.

Hudud lebih diperkatakan dari sudut dan kepentingan politik semata-mata, terutama dalam mendepani hambatan pilihanraya umum akan datang.

Bila mahu dilaksanakan hudud? Entahlah..
 
 

Tiada ulasan: