Ahad, 29 Mac 2015
Hudud: DAP cabar BN Sabah jelaskan pendirian
Roketkini.com
TAWAU: DAP hari ini mencabar BN Sabah agar mengumumkan penolakan mereka terhadap pelaksanaan hudud dalam Kabinet Negeri.
Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, BN perlu menyatakan pendirian mereka sekaligus merumuskan pendirian rasmi Kerajaan Negeri Sabah supaya ia tidak mengecewakan seluruh rakyat negeri di bawah bayu itu.
Menurut Chan, pada 14 Julai tahun lalu beliau meminta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman untuk mengemukakan pendirian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun jawapan yang diterima adalah tidak jelas dan tidak menyakinkan sama sekali.
“Saya amat kecewa kerana Musa tidak menyatakan pendirian yang tegas dan jelas bagi pihak Kerajaan Negeri.
“Tambahan pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sehingga hari ini masih belum mengumumkan pendirian Kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan selepas satu minggu pindaan kepada undang-undang syariah tersebut diluluskan,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Sri Tanjong menegaskan, seharusnya Kerajaan Negeri mengambil pendirian serupa dengan apa yang telah dilakukan parti komponen BN dengan membantah hudud.
”Saya ingin mengingatkan bahawa Sabah adalah rakan kongsi Malaysia, manakala Kelantan hanya satu daripada 11 negeri yang membentuk Malaysia.
“Jadi suara rakyat Sabah adalah lebih penting dalam perbincangan mengenai perlembagaan dan perkongsian kuasa di bawah Persekutuan.
“Sudah tiba masanya rakyat Sabah dan Kerajaan Negeri membuat pendirian jelas serta tegas dalam isu seperti ini kerana ia terbukti menggugat Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya. -Roketkini.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan