Satu-satunya kesilapan para guru itu ialah mereka tidak pernah berbincang dengn ibu bapa murid berkenaan.
MIRI: Laman Facebook Miri Community menerima kecaman keras daripada kerajaan negeri kerana menyiarkan tulisan yang mendakwa seorang murid perempuan berusia 13 tahun dari sebuah sekolah menengah di sini dipaksa menukar agamanya.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, individu yang menulis catatan itu perlu bertanggungjawab mengenai tulisannya yang tidak mencerminkan perkara sebenar.
Kata beliau, tulisan itu bersifat berat sebelah dan boleh mencetuskan ketegangan agama serta menghancurkan keharmonian yang wujud sejak sekian lama di Sarawak.
“Paling penting, murid perempuan itu tidak pernah dipaksa memeluk Islam, dia masih beragama Kristian, dia secara sukarela datang berjumpa guru-guru berkenaan untuk menyatakan minatnya terhadap Islam sebelum bermulanya cuti persekolahan selama seminggu baru-baru ini,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan murid itu, ibu bapanya dan para guru.
Fatimah, yang juga bertanggungjawab bagi hal ehwal pendidikan di negeri ini berkata, para guru berkenaan berulang kali bertanya sama ada niatnya itu benar-benar ikhlas dan murid terbabit memberi jawapan positif, tanpa sesiapa mempengaruhi atau memaksanya menukar agama.
“Satu-satunya kesilapan para guru itu ialah mereka tidak pernah berbincang dengn ibu bapa murid berkenaan sebab dia dijaga datuknya,” kata Fatimah, lapor Bernama.
Beliau berkata, malah murid itu mengaku dia berjumpa dengan guru berkenaan secara sukarela untuk menyatakan minatnya terhadap Islam.
Fatimah juga menafikan tuduhan beberapa individu melalui laman Miri Community bahawa guru berkenaan mempunyai “satu senarai panjang pelajar yang disasar untuk diIslamkan” di kawasan terpilih di sini.
Kontroversi ini timbul apabila gambar sepucuk surat aduan yang dihantar kepada pengetua sekolah itu mengenai guru berkenaan dan satu salinan laporan polis mengenainya dimuatkan dalam laman Miri Community, laman facebook berasaskan komuniti untuk berkongsi maklumat tentang Bandar Raya Miri, yang mendakwa guru berkenaan memaksa murid itu memeluk Islam.
Gambar itu segera tersebar dengan meluas dan banyak pengguna internet berkongsinya hingga mendorong parti pembangkang, PKR di sini mengambil tindakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan