Jumaat, 27 Mac 2015

Pas, DAP bakal berpecah


Pas, DAP bakal berpecah Laporan Sinar Harian, semalam.
 
 
 
SHAH ALAM – Perpecahan akan berlaku dalam PR apabila krisis DAP dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melarat hingga peringkat Pemuda kedua-dua parti, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali.

Menurutnya, Pemuda adalah sayap penting dalam sesebuah parti dan apabila Pemuda Pas dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) sudah mula menghentikan kerjasama, ia akan memberikan impak besar kepada perjalanan gabungan pembangkang itu.

“Strategi DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang menyerang Abdul Hadi, jelas mahu memastikan ahli Pas memilih ketua yang lebih mesra PR dalam pemilihan Pas Jun ini.

“Saya yakin Abdul Hadi akan kekal dalam pemilihan Pas nanti. Pas sendiri telah nyatakan yang mereka tidak akan keluar dari PR. Dan apa pula pendirian DAP pada ketika itu? Yang paling terhormat adalah DAP perlu keluar dari PR setelah mengeluarkan kenyataan kejam terhadap Abdul hadi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sokongan terhadap Abdul Hadi ketara apabila Pemuda Pas mengambil pendekatan menghentikan kerjasama dengan Dapsy setelah Guan Eng menghentam Abdul Hadi.

Sambil menyifatkan lebih banyak kawasan antara Pas dan DAP yang akan memutuskan kerjasama, beliau berkata, Pemuda Pas jelas terlalu kecewa dengan tindakan Guan Eng.

Tiada ulasan: