KELAB GREENBOC
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memenangi kes samannya terhadap Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim dan enam lain berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman dikemukakan Lim selaku plaintif terhadap kesemua defendan dan memerintahkan ganti rugi RM550,000 dibayar kepada anggota Parlimen Bagan, Pulau Pinang itu.
Nor Bee ketika membuat keputusan itu memerintahkan Ruslan, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM150,000 kepada Lim.
Hakim itu juga memerintahkan bekas Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (NSTP) Datuk Syed Nadri Syed Harun dan The New Straits Time Press (M) Sdn Bhd membayar ganti rugi yang sama berjumlah RM200,000.
Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (M) Berhad diperintah membayar ganti rugi sama berjumlah RM200,000 kepada Lim.
Mahkamah juga memerintahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM60,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Nor Bee, dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati perkataan yang diadukan oleh defendan adalah memfitnah Lim dan mahkamah juga mendapati kesemua defendan gagal dalam pembelaan justifikasi mereka.
Hakim itu berkata kesemua defendan sepatutnya perlu membuktikan ulasan yang dibuat adalah betul dan saksama sebelum ia disiar atau diterbitkan dan bukannya terus menyiarkannya tanpa membuat sebarang pengesahan.
“Dalam kes ini, mahkamah juga mendapati Kumpulan Utusan dan NSTP gagal mempamerkan kewartawanan bertanggungjawab,” katanya, lapor Bernama.
Pada 11 Mei 2012, Lim memfailkan saman fitnah terhadap kesemua defendan selepas mendakwa Ruslan menerbitkan satu kenyataan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011 yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahaya memberi penjelasan berhubung pertemuannya (Lim) bersama Datuk Seri Kalimullah Hassan dan pemimpin kanan parti PAP Singapura pada 12 Ogos 2011.
Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan yang dikeluarkan itu membawa maksud bahawa beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.
Oleh itu, Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, yang kesemuanya berjumlah RM15 juta serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Ruslan ketika ditemui pemberita sejurus selesai prosiding menerima keputusan yang diputuskan oleh mahkamah dengan hati terbuka.
“Saya akur dengan keputusan mahkamah dan ini menunjukkan mahkamah adalah sebuah badan bebas serta tidak diperalatkan oleh kerajaan,” katanya dan menambah mungkin akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.
Lim yang tidak hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam Americk Sindhu, pihak defendan daripada Kumpulan Utusan dan NSTP diwakili peguam Lim Qi Si manakala peguam Saleh Ahmad mewakili kesemua defendan daripada Perkasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan