OLEH JAMILAH KAMARUDIN
Tindakan Putrajaya yang
menginginkan aset Selangor termasuk tanah, melalui perjanjian
penstrukturan semula industri air negeri dengan kerajaan persekutuan,
disebabkan faktor ekonomi kerajaan pusat yang hampir bankrap, kata
Mohamed Azmin Ali.
Salah satunya puncanya, kata Menteri Besar Selangor itu, disebabkan
hutang yang ditanggung syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Beliau mendakwa, disebabkan terpaksa menanggung hutang 1MDB, Putrajaya
tidak ada wang untuk menyelesaikan perjanjian dan mahu aset tanah
Selangor dijadikan sumber kewangan mereka.
"Saya tidak pasti sebab apa kerajaan pusat ingin berbuat demikian,
kerana saya bukan dalam kalangan kelompok kerajaan Barisan Nasional
(BN).
"Ada kemungkinan faktor ekonomi, kerajaan pusat hampir bankrap dan tiada wang untuk selsesaikan perjanjian.
"Selain itu, kerajaan juga tiada wang disebabkan hutang 1MDB yang
mencecah RM45 bilion," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor ke-13 di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Adun DAP-Sekinchan, Ng Suee Lim
tentang hasrat Putrajaya sebelum ini yang mahu memiliki semua aset
termasuk tanah Selangor melalui perjanjian penstrukturan industri air
negeri.
Namun dakwaan itu dipersoalkan Adun BN-Sungai Burong Datuk Mohd
Shamsudin Lias yang mahu Azmin mengemukakan bukti wujudnya kaitan isu
tanah dengan hutang 1MDB yang menyebabkan kerajaan pusat hampir muflis.
Azmin berkata, perkara itu dinyatakan sendiri mantan perdana menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik cara Putrajaya menguruskan
hutang 1MDB.
"Dalam taklimat Dr Mahathir ada fakta yang sahih. Bagaimana kerajaan
korup boleh dibenarkan ada kaitan langsung dengan pemimpin tertinggi,
boleh berhutang sehingga RM45 bilion? Ini memberi kesan kepada ekonomi
negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan