Isnin, 30 Mac 2015

Bersetuju untuk tidak bersetuju' rosakkan Pakatan Rakyat - PasMa

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pertelingkahan antara parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak akan berkesudahan selagi wujud terma 'bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree)', demikian menurut Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi. 
 
Kata Phahrolrazi, terma atau konsep itulah sebenarnya yang merosakkan kerjasama antara PKR, DAP dan PAS.
 
"Bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) inilah yang merosakkan Pakatan, sebab boleh buat begitu bila belum menjadi kerajaan.
 
"Tapi kalau sudah menjadi kerajaan, adakah boleh begitu?," katanya kepada Antarapos.
 
PAS dan DAP pada ketika ini dilihat agak 'dingin' berikutan pengumuman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi masih komited dengan PAS.
 
Keputusan itu dibuat ekoran PAS  bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, sedangkan dakwa DAP, hudud tidak terkandung dalam agenda bersama Pakatan Rakyat. 
 
Ini ditambah dengan tindakan Hadi yang menghantar notis usul Rang Undang-undang Persendirian itu kepada Dewan Rakyat, dan tindakan itu disifatkan DAP sebagai tidak jujur dan tidak bermaruah.
 
PAS pula mempertahankan pelaksanaan hudud kerana ia adalah agenda partinya dan pendirian itu berdasarkan konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.
 
Justeru Pahrolrazi yang juga ADUN Pengkalan Kubor itu mencadangkan agar setiap parti komponen PR mempunyai satu prosedur operasi standard (SOP) bagi menguruskan ketidaksamaan agenda perjuangan parti masing-masing. 
 
"Dari segi pendekatan, bila dah wujud Pakatan, apa-apa perkara yang nak dibuat oleh mana-mana parti komponen patut ada satu SOP. Masing-masing ada pegangan (agenda), jadi bagaimana nak diurus. 
 
"Parti dalam Pakatan tak ada SOP itu, iaitu satu kaedah untuk mengurus. Kalau nak diteruskan isu ini, mereka mesti menyelesaikan soal prinsip iaitu kalau ada perkara yang berbeza yang parti masing-masing nak bawa, bagaimana satu pendekatan perlu dibuat supaya PR terus kekal," katanya.
 
Menyentuh mengenai peranan PasMa, ujar Phahrolrazi, pihaknya tidak menolak hasrat untuk menjadi 'orang tengah' dalam mengatasi kemelut hubungan dingin kedua-dua parti itu, namun semuanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi PR. 
 
Cuma pada ketika ini kata beliau, PasMa berusaha menyampaikan mesej kepada kepimpinan untuk membincangkan dan memikirkan kembali objektif penubuhan PR.  
 
"Mesej itu yang kita nak sampaikan sekarang kepada pimpinan. Mereka nak pertegaskan pendirian masing-masing yang berbeza, mereka akan hilang sokongan rakyat, (atau) peluang mereka. 
     
"Kalau sekiranya mereka bersendirian dalam Pilihan Raya Umum (PRU), harapan untuk menang ini terlalu nipis. Adakah mereka beri keutamaan masuk PRU nak menang, atau nak pegang prinsip masing-masing. Itu soalan yang perlu mereka jawab," ujarnya. 
 
 

Tiada ulasan: