Sabtu, 28 Mac 2015

Perkemaskan langkah dalam apa jua keadaan

Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF 


RAMAI sahabat di luar sana mengatakan ini tempoh untuk setiap pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat bermuhasabah diri. Apa yang boleh saya katakan, Pakatan Rakyat adalah impian pembaharuan buat rakyat Malaysia ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang lebih terbuka dan dinamik. Pun begitu, bagi kebanyakan orang-orang kampung, penyatuan Parti Islam Se-Malaysia PAS bersama-sama dalam Pakatan Rakyat bukanlah suatu yang mudah untuk diterima.

Itulah kesimpulan yang dapat saya rasakan dalam banyak bicara dan lepak dengan pak tani, pesawah  dan mereka yang senang menghirup udara desa. Pada mereka apa perlunya PAS dalam Pakatan Rakyat apabila matlamat perjuangan PAS itu cukup jelas iaitu Islam?

“Tak boleh ke PAS berjuang sendirian tanpa ada pakatan sini dan situ?” Itu persoalan yang biasa dilontarkan. Ia ditambah lagi dengan kelicikan media-media propaganda Umno dan Barisan Nasional dalam membentuk pemikiran rakyat betapa rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak sehaluan ideologi perjuangan.

Namun atas semangat kebersamaan dalam satu pakatan ditambah pula itulah keputusan muktamar (badan tertinggi dalam PAS), mereka kita yakinkan dengan sehabis mampu untuk sama-sama mendokong aspirasi Pakatan Rakyat. Mengapa tiba-tiba suasana bagai lembu gila terputus talinya?

Hemburan demi hemburan kini dilempar terhadap tubuh badan Tuan Guru Presiden secara terang-terangan, tidak lagi berselindung. Syukur sekali ke hadrat Allah, Islam itu sempurna dengan segala macam pentunjuk atas setiap permasalahan. Al-Quran dan Sunnah serta ijmak telah cukup sebagai rujukan termasuklah pada waktu-waktu sebegini.

Suatu firman Allah SWT dari surah Mariam yang bermaksud:

“Nabi Zakaria bertanya: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?

Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; Hal itu mudah bagi-Ku kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun”. (Surah Maryam: Ayat 8 -  9)

Ketentuan Allah itu adalah suatu yang telah ditakdir. Pada setiap masa dan waktu, tadbir manusia tidak akan mengatasi apa yang ditakdirkan oleh Ilahi. Pengajaran daripada kisah Nabi Zakaria antara lainnya cukup jelas. Sesuatu hal yang pada mata manusia mustahil berlaku, ia tidak mustahil di sisi Allah SWT.

Rahmat Allah itu sentiasa beriringan dengan apa jua yang dilakukan oleh manusia itu. Pertolongan Allah kepada umat Islam dan para pejuang agamanya sentiasa berlaku, apatah lagi bilamana usaha yang paling baik dan optimum telah dilakukan oleh umat Islam dan para pendokong di jalan jihad.

Berbalik kepada suasana semasa yang berlaku, tentu sekali buat masa ini perkiraan kita adalah bersatu dalam Pakatan Rakyat bersama rakan-rakan yang lain. Sebagaimana disebut oleh Tuan Guru Presiden, apa yang berlaku pada masa hadapan adalah semata-mata dalam pengetahuan Ilahi.

Sebagai manusia, kewajipan kita hanyalah merencana gerak kerja dan melaksanakan apa yang direncana dengan sehabis daya. Sama ada PAS terus bersama dalam Pakatan Rakyat atau bersendirian, kita seharusnya telah lebih bersedia untuk mendepani sebarang cabaran pada masa hadapan tanpa rasa gundah gulana.

Bukan kita tidak pernah berjuang tanpa rakan. Bukan kita tidak pernah berjuang tanpa ada sokongan yang ramai. Pada masa yang sama, bukan juga kita tidak menghargai rakan-rakan sepanjang perjuangan ini. Namun suasana hari esok mungkin saja berbeza dengan hari ini dan hari semalam.

Sejak dulu kita punya agenda dalam jejak di medan perjuangan. Kita punyai panduan untuk dizahirkan. Agenda Negara berkebajikan misalnya masih amat memerlukan pengisian.

Dalam mendepani cabaran semasa, kesediaan kita memikul agenda ini dalam apa jua keadaan harus dipersiap. Persoalan sama ada terus berada di dalam atau luar pakatan tidak harus mengendurkan fokus kita pada agenda yang telah digagaskan oleh Tuan Guru Presiden.

Setiap saat harus kita ingat bahawa Allah itu amat kasihan belas dan maha pemberi rahmat kepada setiap jiwa yang melakukan kebaikan. Terus-terusanlah bermunajat dan bergantung kepada Allah di sebalik tiap gerak kerja yang dilakukan. Perkemaskanlah tapak pada setiap langkah perjuangan.

Tiada ulasan: