Ahad, 29 Mac 2015

Khalid Samad ditahan kerana menghasut awal pagi ini

 THE MALAYSIAN INSIDER


Khalid Samad di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur semalam ketika perhimpunan #KitaLawan, semalam. Ahli Parlimen Shah Alam itu ditahan pagi ini di bawah Akta Hasutan.  – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 20 Mac, 2015.Khalid Samad di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur semalam ketika perhimpunan #KitaLawan, semalam. Ahli Parlimen Shah Alam itu ditahan pagi ini di bawah Akta Hasutan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin.



Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ditahan polis mengikut Akta Hasutan berhubung perhimpunan #KitaLawan, di rumahnya di Shah Alam pada 3.20 pagi ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dzulkefly, Khalid yang merupakan ahli jawatankuasa PAS Pusat kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

“Kegilaan tangkapan apa semua ini oleh sang penguasa politik?


"Semoga negara ini diselamatkan Allah daripada terjerumus menjadi sebuah 'police state',” kata Dzulkefly melalui akaun Facebooknya. “Semoga kita semua dirahmati Allah. Allahu Musta'an.”

Semalam, polis menahan Setiausaha Pengelola PKR Fariz Musa sebaik sahaja perhimpunan #KitaLawan di ibu kota berakhir dengan aman tanpa sebarang insiden.

Sebelum itu, polis menahan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang beberapa jam sebelum perhimpunan #KitaLawan dan menahan reman selama 3 hari Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan aktivis Hishamuddin Rais yang ditahan pada Jumaat.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ditahan awal pagi Sabtu berhubung perhimpunan #KitaLawan di Pulau Pinang selepas menghadiri mesyuarat parti di peringkat negeri itu.

Mohamad bagaimanapun dibebaskan pada pukul 11.30 malam tadi selepas ditahan hampir 23 jam tanpa sebarang pertuduhan.

Pada Jumaat, polis menahan Setiausaha Agung PKR, Rafizi di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya menyeru ahli parti itu turun beramai-ramai dalam perhimpunan #KitaLawan yang diadakan semalam.

Pada sebelah malam, Hishamuddin ditahan selepas “diculik” sekumpulan lelaki tidak dikenali dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur ketika baru tiba di Dataran Merdeka untuk menghadiri program penerangan #KitaLawan.

Tiada ulasan: