Selasa, 31 Mac 2015

PKR, DAP Sabah putus hubungan dengan PAS, itu pandangan berbeza – Azmin

 
Buktinya Pakatan Rakyat (PR) di Selangor dan negeri lain kukuh dan kuat


azminn



SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menegaskan pendiriannya bahawa partinya dan DAP Sabah yang memutuskan hubungan politik dengan PAS semalam adalah satu pandangan yang berbeza.

Katanya, pandangan di peringkat negeri tidak sama dengan pandangan di peringkat Pusat.

“Apa-apa masalah diperingkat negeri akan dibincangkan dan diselesaikan oleh kerajaan Pusat PR,” katanya kepada pemberita di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Mengulas pendirian PKR dan DAP Sabah memutuskan hubungan dengan PAS yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum Hudud, beliau berkata PR di peringkat Pusat akan mendengar dahulu pandangan mereka.

“Di bahagian biro politik PKR Pusat adalah mahu PR terus dipertahankan dan diperkukuhkan.

“Kita mengaku ada masalah sedikit dalam beberapa isu. Tetapi berdasarkan pengalaman kita sebelum ini, kita dapat menyelesaikan isu-isu besar PR dengan muafakat,” jelasnya.

Azmin juga mengingatkan pimpinan-pimpinan PR supaya tidak bertelagah di dalam media kerana mengakui setiap media ada agenda tersendiri.

“Seharusnya pimpinan PR duduk dan berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

“Di Selangor dan negeri-negeri lain, PR kukuh dan kuat. Kita mementingkan soal pembangunan negeri,” ujarnya.

Semalam, Ketua PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin dalam satu sidang media mengumum memutuskan hubungan dengan PAS.

Kata Lajim Ukin, walaupun sebagai orang Islam, beliau menerima hukum Hudud tetapi belum ada keperluan melaksanakan undang-undang itu di negara ini.

Tiada ulasan: