Lemas
 
 
 
KUALA TERENGGANU - Kegembiraan tujuh sahabat menghabiskan cuti hujung minggu berakhir dengan tragedi selepas seorang daripada mereka ditemui lemas berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini petang tadi.
  
Mayat mangsa, Mohd Fakhrul Dania, 12, ditemui kira-kira pukul 3.50 petang oleh pasukan penyelamat.
  
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba Terengganu, Azmi Omar berkata, sejurus menerima maklumat kira-kira pukul 2.14 petang seramai tiga anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian.
  
"Kita berjaya menemui mangsa pada jarak 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas lebih satu jam usaha mencari dan mengesan mangsa dilakukan," kata beliau.
  
Katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Titian Baru di sini disahkan meninggal oleh pasukan perubatan.

  
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sulatanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. - Bernama