KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui
selamat selepas terpaksa bermalam di ladang getah bersendirian di daerah
Tenom.
Healezry Zeandfly Henderi ditemui sedang tidur dalam kawasan belukar
tebal kira-kira pukul 10.25 pagi semalam, selepas 18 jam dilaporkan
hilang.
Selain terdapat kesan calar di pipinya, Healezry dalam keadaan baik
walaupun dia kelihatan lemah dan takut sebaik sahaja melihat anggota
bomba mendekatinya di ladang getah yang terletak kira-kira 300 meter
dari rumahnya di Kg Kuala Tolokoson.
"Dia tidur di dalam kawasan belukar. Namun dia terjaga dan kelihatan takut apabila terlihat kami.
"Salah seorang anggota kami memberitahunya bahawa kami perlu membawa
dia pulang ke rumah. Kanak-kanak tersebut kemudiannya bangun dan
membenarkan dia untuk didukung," kata Pegawai Jabatan Bomba dan
Penyelamat Daerah Tenom, Hairin Sarbin ketika dihubungi.
Dalam laporan polis yang dibuat kira-kira pukul 4 petang Khamis, ibu
Healezry, Moina Barahin, 27, menyatakan dia baharu sahaja pulang dari
pasar bandar Tenom dan mahu pergi ke tandas.
Kanak-kanak itu mahu mengikut ibunya ke tandas.
Sebaik sahaja ibunya keluar dari tandas, kelibat Healezry sudah tidak kelihatan.
Healezry, yang mempunyai seorang abang dilihat kali terakhir berada di rumah tersebut bersendirian oleh jirannya.
Semasa operasi mencari Healezry di ladang getah di Kemabong, anggota
bomba terdengar tangisan kanak-kanak sebanyak tiga kali antara pukul 8
malam dan 9 malam pada kelmarin.
Namun, mereka gagal mengesan kanak-kanak tersebut pada hari yang sama.
"Kami menghentikan operasi pencarian kira-kira pukul 11 malam dan meneruskan operasi pada keesokan harinya," kata Hairin.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Moira memberikan anaknya itu minuman dengan segera sebelum memberinya makanan.
Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Kemabong untuk pemeriksaan kesihatan dan pemantauan.
Hairin berkata kanak-kanak itu dilihat masih ketakutan dan tidak banyak bercakap selepas diselamatkan.
Namun, bapanya, Henderi Andiwang, 35, yang bekerja sebagai penoreh
getah dan Moira mengucapkan terima kasih kepada anggota penyelamat yang
berjaya membawa anaknya pulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan