Hasan Malek
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa lebih ramai peniaga mencontohi pasaraya
Mydin yang memutuskan untuk menyerap enam peratus Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST).
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, langkah Mydin itu disambut
baik kementerian kerana dapat membantu menjayakan inisiatif yang diambil
kerajaan bagi mengukuhkan ekonomi negara.
"Ini yang kita alu-alukan kepada peniaga yang memikirkan kepentingan negara diutamakan lebih daripada keuntungan sendiri.
"Ini diharapkan akan menjadi contoh kepada peniaga lain. Pada saya apa
sahaja tindakan yang kerajaan ambil melalui GST adalah sebenarnya untuk
kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi," katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan memuat naik
iklan yang dikeluarkan Mydin melalui laman Twitternya mengenai
penyerapan GST yang bakal dilaksanakan secara sukarela oleh syarikat
runcit itu apabila GST dilaksanakan Rabu ini.
Ditanya mengenai kemungkinan syarikat lain mengikut jejak langkah
Mydin, Hasan berkata, beliau lebih mengalukan syarikat berkenaan
mengumumkan sendiri pendirian masing-masing.
Beliau berkata, melalui pertemuan antara KPDNKK dan beberapa wakil
industri baru-baru ini, persetujuan pematuhan agar tidak menjadikan GST
sebagai alasan memanipulasikan harga dan tidak menaikkan margin
keuntungan bersih mulai 2 Januari 2015 hingga 30 Jun 2016, telah
dicapai.
Katanya, antara wakil yang hadir ialah Persekutuan Pekilang-Pekilang
Malaysia (FMM), Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) dan
Persatuan Peruncitan Malaysia (MRA).
"Ini amat digalakkan sebagai tanda sokongan kepada GST berkat
penglibatan yang dibuat kerajaan secara dari hati ke hati," katanya.
Mengulas mengenai aduan pengguna mengenai beberapa barangan keperluan
asas yang dilaporkan tiada stok di pasaran, Hasan menasihatkan pengguna
melaporkan segera kepada KPDNKK di talian bebas tol 1-800-886-800.
Dalam pada itu, beliau berkata aplikasi MyKira GST yang diperkenalkan
KPDNKK juga membantu rakyat memantau harga barangan yang dimanipulasikan
selepas cukai itu dilaksanakan.
"Kita juga akan lancar Pusat Gerakan Anti Pencatutan petang ini bagi
memudahkan media dan orang ramai mengetahui maklumat terkini mengenai
aduan serta tindakan yang diambil kementerian terhadap peniaga yang
mengambil kesempatan," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan