Ahad, 29 Mac 2015

Ismail: Fitnah terhadap Najib 'turun' ke cawangan

MALAYSIAKINI


 


Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah 'turun' ke cawangan-cawangan Umno.

Katanya, beliau mendapat tahu ada surat-surat layang diedarkan di cawangan-cawangan Umno bagi memfitnah perdana menteri, lapor Bernama.

Beliau berharap ahli parti itu tidak terpengaruh dengan kempen fitnah tersebut.

Ismail Sabri yang juga menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata demikian dalam ucapan merasmikan persidangan kelompok Umno cawangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bahagian Jelebu semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin Umno khususnya di peringkat cawangan menjadi benteng kepada segala fitnah yang dilemparkan terhadap presiden Umno itu.

Katanya, antara fitnah itu adalah yang berkaitan 1MDB, pembelian jet oleh kerajaan Malaysia dan mas kahwin anak perempuan Najib.

"Fitnah terhadap pemimpin Umno semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan inilah yang 'mereka' mahu supaya kita di peringkat cawangan 'goyang'.

"Apabila anggota di peringkat cawangan sudah 'goyang' atau sudah tidak yakin kepada kepimpinan maka runtuhlah parti kita.

"Jika Umno runtuh bermakna orang Melayu akan menjadi mangsa," katanya.

Menurutnya Umno sepatutnya menjadi lebih kuat pada hari ini kerana pembangkang sudah semakin berpecah-belah.

"Inilah waktu terbaik bagi kita (Umno) memperkuatkan kedudukan kita kerana di waktu orang lemah, kita mesti kuat.

"Tetapi kalau waktu orang lemah dan kita juga lemah maka tidak ada makna," katanya. - Bernama


 

Tiada ulasan: